Laporan mengenai penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja dalam online Harian Metro.
Laporan mengenai penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja dalam online Harian Metro.
BERNAMA

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan sudah menemui 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara di Poi Pet, 446 kilometer dari Phnom Penh, Kemboja bagi melihat sendiri masalah mereka.

Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, dalam pertemuan itu semalam, Othsman mendengar keluhan dan kesusahan mereka serta sedia membantu sebarang keperluan sepanjang berada dalam tahanan.

“Menurut Dr Othsman, hasil lawatan itu beliau dimaklumkan mereka terpedaya dengan tawaran kerja di hotel kawasan pelancongan Siem Reap.

“Apabila mereka tiba di situ ejen pekerjaan mengambil pasport dan telefon bimbit menyebabkan mereka terputus hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan,” katanya kepada Bernama dari Phnom Penh.

Mustapha berkata, Dr Othsman bersetuju membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Hun Sen dalam masa terdekat selain berjanji akan cuba menyelesaikan kes itu secepat mungkin.

Selain itu katanya, Dr Othsman turut menyatakan penghargaannya kepada NGO Antarabangsa yang sentiasa berhubung dengannya untuk menyelesaikan perkara itu.

Khamis lalu, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet, sejak 11 Disember lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Berita berkaitan:

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

[UPDATE] NGO bantu rakyat Malaysia di Kemboja

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:39 PM