GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass dan Izlaily Nurul Ain Hussein


DIPERCAYAI merajuk kerana sering ditegur pulang lewat oleh ibunya, menjadi punca pelajar kolej bertindak menggantung diri di rumahnya di Kulai, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.56 pagi, mangsa lelaki berusia 21 tahun itu ditemui maut selepas lehernya diikat dengan langsir dan tergantung di kipas siling biliknya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang mengatakan terdapat seorang lelaki mengurung diri dalam bilik di rumah.

“Ketika polis tiba di lokasi, kita dapati pihak bomba turut berada di lokasi dan pintu bilik dipecahkan.

“Kita mendapati mangsa menggantung diri dalam bilik dan ambulans juga berada di lokasi kejadian dan mangsa disahkan maut,” katanya.

Tok berkata, mengikut keterangan ibu mangsa berusia 48 tahun, berlaku pertengkaran antara mangsa dan ibunya kira-kira 7 pagi kerana mangsa sering balik lewat dan tidak mahu mendengar teguran ibu serta kakaknya.

“Mangsa sering keluar malam dan balik lewat menyebabkan kakak serta ibunya sering memarahi dan menegur mangsa.

“Pagi tadi dia dimarahi lagi sebelum berkata akan menggantung diri dan jangan menyesal.

“Ibunya memaklumkan, mangsa sering mengugut mahu menggantung diri kerana tidak suka dikongkong,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikatakan masuk ke dalam bilik dan terus mengurung diri kira-kira 30 minit sebelum ibunya memanggil dan menyuruh membuka pintu, tetapi tiada jawapan.

Risau dan takut mangsa melakukan sesuatu, beliau berkata, ibu mangsa meminta ahli keluarga menghubungi bomba dan polis.

Tok berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa mengikat kain langsir ke besi kipas siling di dalam bilik tidurnya pada ketinggian kira-kira 3.65 meter dengan diletakkan rak buku di bahagian bawah sebagai tempat melepaskan badannya.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang senjata atau kesan serangan yang boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) kerana menggantung diri,” katanya.

Menurutnya, bedah siasat juga tidak dibuat berikutan pegawai perubatan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), mendapati keterangan daripada ibu mangsa menunjukkan punca kematian adalah disebabkan kesan akibat menggantung diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:19 PM