FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli


SUAMI isteri yang masing-masing bekas banduan dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri makanan, termasuk keju di sebuah pasar raya, minggu lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Hafizullah Hamidi, 39 dan isterinya, Azrina Noorul Abidin, 29, selepas mereka membuat pengakuan bersalah sebaik tuduhan dibacakan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan pasangan itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 1 Februari lalu.

Ketika disoal Mohamad Ikhwan mengapa mereka melakukan perbuatan mencuri, Hafizullah memberikan alasan kepada mahkamah, dia tiada wang kerana tidak bekerja.

Terdahulu, Hafizullah dan Azrina yang masing-masing memakai baju berwarna putih itu dilihat tenang dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding mahkamah itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencuri sembilan peket Cheesedale, satu bungkusan Thai Longan, satu botol Marigold Fresh bernilai RM133 di pasar raya Aeon Sunway, Subang Jaya, pada 7.02 malam, 1 Februari lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, kedua-duanya yang tidak diwakili peguam bela merayu supaya mahkamah meringankan hukuman atas alasan mempunyai tanggungan dua anak yang berusia lapan dan empat tahun.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Raya Nor Baizura Mohd Soubian meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah turut dimaklumkan Hafizullah dan Azrina masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah menjalani hukuman di penjara sebelum ini membabitkan kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 4:03 PM