FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun, lapan sebatan dan denda RM7,000 terhadap lelaki selepas didapati bersalah terhadap 11 pertuduhan menipu, mencuri dan melupuskan harta milik lima wanita.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas mengenepikan hukuman dua tahun penjara dan sebatan dibuat Mahkamah Majistret Kuala Terengganu terhadap tertuduh, Mohd Azmi Hasyim, 44, pada 6 Februari lalu.

Beliau memutuskan tertuduh dihukum penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan itu dan hukuman diperintah berlangsung secara berasingan, manakala masing-masing dua sebatan bagi empat pertuduhan menipu.

Mahkamah turut menetapkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM4,000 atau lapan bulan penjara bagi setiap kesalahan menipu, dengan hukuman penjara bermula tarikh ditangkap pada 8 Januari lalu.

Mohd Azmi didakwa terhadap empat pertuduhan menipu mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan, empat lagi pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan dua pertuduhan mengikut Seksyen 379A kanun sama kerana mencuri kenderaan bermotor.

Tertuduh juga menghadapi satu tuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 6 Februari lalu, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan, 18 bulan dan 24 bulan, denda antara RM1,000 dan RM4,000 serta empat sebatan terhadap tertuduh.

Hukuman penjara juga diarah berlangsung serentak, namun Timbalan Pendakwa Raya memohon semakan semula hukuman itu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azmi didakwa menipu empat wanita dengan menawarkan pekerjaan yang tidak wujud, sebelum semua mangsa menyerahkan wang antara RM100 hingga RM1,000 tanda persetujuan.

Selain itu, tertuduh didakwa mencuri Perodua Viva dan Myvi di hadapan stesen minyak di Wakaf Mempelam dan di hadapan sebuah kedai tayar di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu pada 10 pagi dan 2 petang, 8 Januari lalu.

Tertuduh turut didakwa mencuri barang berharga seperti barangan kemas, tujuh telefon bimbit dan dua tablet milik tiga wanita, selain didakwa melupuskan harta curi milik seorang daripada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 11:21 PM