PRABAKARAN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Flat Seri Perak, Sentul. FOTO Ihsan PPD Wilayah Sentul
PRABAKARAN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga di Flat Seri Perak, Sentul. FOTO Ihsan PPD Wilayah Sentul
Yusmizal Dolah Aling


PROGRAM Ziarah Cakna yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) mampu mewujudkan konsep sekolah penyayang dalam konteks sebenar dalam usaha menyelami masalah dihadapi pelajar dan ibu bapa secara menyeluruh.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata, menerusinya, langkah sama sudah diambil negara maju seperti Jepun dan ia terbukti dapat memperkukuh nilai murni melalui pembudayaan amalan penyayang, hormat-menghormati, keseronokan, serta bertanggungjawab.

Katanya, komitmen seperti itu ditagih terutama daripada warga pendidik untuk mewujudkan persefahaman antara ibu bapa dan guru yang memungkinkan proses pembangunan murid berlaku secara lebih cekap.

“Kita ada konsep bersatu teguh, bercerai roboh yang sinonim dengan konsep unus pro omnibus, omnes pro uno ataupun one for all, all for one. “Mesej keramat itu begitu jelas mencerminkan kepentingan kesepaduan tenaga, kerjasama dan permuafakatan antara kita semua agar usaha untuk merealisasikan sebuah negara bangsa yang mapan dan mantap akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap melancarkan Program Ziarah Cakna Peringkat Wilayah Sentul Tahun 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul Zainun Ahmad.

Prabakaran berkata, ia dapat mengukuhkan dua sisi kecemerlangan iaitu dimensi keberhasilan pendidikan negara dan dimensi kemenjadian anak didik sekali gus membentuk kumpulan pelajar berjaya serta masyarakat yang positif.

Menurutnya, pendekatan ziarah ke rumah pelajar itu memberi impak yang besar bagi mengenal pasti masalah dihadapi murid kurang bernasib baik agar mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.

“Saya menyokong penuh usaha seperti ini terutama yang diadakan di kawasan parlimen saya dan ia perlu diperluas bagi menjayakan pembangunan pendidikan di negara ini memandangkan golongan ibu bapa serta penjaga adalah pelengkap, pengukuh dan pemangkin kepada kemajuan pendidikan sesebuah negara,” katanya.

Beliau turut melawat rumah di Pangsapuri Seri Perak, Sentul bersama warga pendidik untuk melihat sendiri bagaimana keberkesanan program berkenaan dijalankan, selain bertanya khabar penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 6:49 PM