Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan ekosistem pendidikan lengkap, terbaik dan berkualiti yang terasnya adalah pembangunan modal insan menunjangi kejayaan serta pemodenan negara.

Sektor pendidikan MARA semakin berkembang luas melalui penawaran pengajian bermula dari peringkat menengah sehingga peringkat tertinggi seperti ijazah kedoktoran dan profesional.

Buktinya, bermula 1966 hingga kini, MARA melahirkan 1.729 juta pelajar sejak 1966 merangkumi pelajar dari peringkat menengah, graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), graduan profesional dan separa profesional.

Di sebalik kejayaan melahirkan jutaan pelajar, barisan pendidik inilah yang menyokong dan menunjangi sistem pendidikan MARA.

MARA ada 9,880 pendidik berkualiti dan mempunyai kompetensi tinggi yang menabur bakti di 342 Institusi Pendidikan MARA (IPMA).

Sumbangan MARA terhadap Bumiputera tidak asing lagi apabila organisasi ini memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan kemahiran TVET dengan membantu belia serta graduan meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mengikut keperluan industri.

Konsep teaching factory dibangunkan dengan kerjasama industri ditambah baik dan kini lebih 90 peratus bekas pelajar MARA bekerja dalam industri, malah sebahagian besarnya ada syarikat sendiri.

MARA akan terus menjadi antara penyumbang utama negara melahirkan guna tenaga pakar dalam bidang kemahiran dan teknologi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang menjadi antara peneraju pendidikan kemahiran tinggi atau High TVET (HTVET).

Keupayaan graduan dipacu bersama industri serta badan profesional bagi memberi pengiktirafan mengikut bidang kepada graduan seperti kolaborasi Kolej Profesional Mara (KPM) bersama Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW ), Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT), Chartered Institute of Marketing (CIM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta banyak lagi.

Penawaran pelbagai program dwi persijilan iaitu sijil profesional dan diploma di KPM inisiatif penting menjadikannya institusi pendidikan terulung negara setanding Universiti Teknologi MARA (UiTM).

MARA memberi penekanan tinggi terhadap program penajaan pendidikan sama ada dalam mahu pun luar negara.

Tahun ini, dengan peruntukan disalur kerajaan sebanyak RM2 bilion, MARA menyasar 60,000 pelajar menerima manfaat kemudahan ini.

MARA juga komited menambah baik prasarana dan infrastruktur IPMA yang kondusif demi memacu masa depan pendidikan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Hari Anugerah Pendidik MARA menyifatkan tugas pendidik semakin mencabar dan memerlukan kreativiti serta inovasi bagi memastikan pengajaran serta pembelajaran lebih berkesan kepada pelajar selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Beliau berkata, pendidik perlu berusaha menaik taraf kaedah pengajaran supaya selari dengan kehendak dan arus peredaran masa kini.

"Generasi ini yang juga dikenali dengan gelaran zoomers membesar seiring perkembangan teknologi, mereka memiliki ciri berbeza dengan generasi sebelumnya.

"Generasi Z sangat pantas dan cekap menggunakan peralatan digital serta tidak terpesona dengan kecanggihan internet seperti generasi sebelumnya kerana mereka lahir selepas internet serta peralatan digital canggih wujud," katanya

Majlis ini bagi memberi pengiktirafan penghargaan kepada pendidik IPMA atas sumbangan dan jasa mereka dalam mendidik anak bangsa selain untuk meningkatkan motivasi.

Ia juga mengangkat martabat dan taraf pendidik IPMA dalam masyarakat serta memupuk perasaan perpaduan ikhtisas serta muhibah dalam kalangan warga MARA dan Malaysia Madani.

MARA turut mengangkat Pendidik Insani Pemangkin Generasi Madani sebagai tema Hari Pendidik tahun ini.

Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dengan perkembangan teknologi semakin berkembang pesat, generasi Z seolah-olah tidak boleh terlepas dari gajet dan aktiviti media sosial.

"Bagi mereka, teknologi boleh digunakan untuk apa saja termasuk belajar dan bekerja, bukan sekadar bersenang-senang atau mengisi masa lapang," katanya.

Beliau berkata, pemahaman karakteristik setiap generasi amat penting untuk menentukan bagaimana strategi pendidikan yang efektif harus diberikan kepada pelajar generasi Z ini.

Menyentuh tema Hari Pendidik 2023, Ahmad Zahid melihat ia bertepatan dan sesuai dengan dimensi baru era pendidikan.

"Hal ini mengingatkan kita betapa tugas dan peranan pendidik cukup besar sebagai obor penggerak bagi melahirkan generasi Madani yang memiliki ketinggian ilmu, kesantunan adab serta jati diri bangsa yang kuat.

"Untuk menjadi negara Madani yang makmur dan dihormati berasaskan acuan kita sendiri, di sini perlunya pendidik insani berkeupayaan memahami emosi pelajar, empati dan menyuburkan nilai kasih sayang ke dalam jiwa bagi memenuhi keperluan fisiologi dan psikologi mereka," katanya.

Katanya, pendidik insani perlu menguasai kemahiran teknologi digital kerana proses transformasi ilmu hari ini bersifat dinamik, kreatif dan inovatif.

Ahmad Zahid juga menyeru pendidik MARA membabitkan diri dalam pertandingan inovasi serta mengetengahkan idea itu khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan anugerah kepada 12 IPMA Terbaik dan 26 penerima Anugerah Pendidik Cemerlang MARA.

Bagi Anugerah Ikon Pendidik Wanita MARA pula diberi kepada Juriah Alias yang merupakan Timbalan Pengarah I (Pembangunan Kurikulum) Bahagian Pendidikan Menengah manakala bekas Pengarah Kolej Mara Kuala Nerang, Shaariah Dahman menerima Anugerah Tokoh Pendidik MARA.

SHAARIAH bersyukur menerima Anugerah Tokoh Pendidik 2023.
SHAARIAH bersyukur menerima Anugerah Tokoh Pendidik 2023.

'Hanya MARA sedia peluang terbaik buat guru'

"Terima kasih banyak-banyak" demikian kata-kata bekas Pengarah Kolej Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kuala Nerang, Shaariah Dahman kepada Mara selepas menerima Anugerah Tokoh Pendidik 2023.

Shaariah, 68, melahirkan rasa syukur dan berasakan ia di luar impiannya menerima anugerah itu pada Hari Anugerah Pendidik MARA.

Beliau yang kini menjadi penceramah bebas berkata, pendidik di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) dahulu dan kini banyak berubah dari segi ilmu serta kepelbagaian institusi.

"Dari segi kemahiran diri dan pengembangan bakat, MARA buka lebih banyak peluang dibandingkan dengan zaman cikgu dahulu.

"Ini penghayatan pendidik sekarang kerana peluang sebegitu sukar kita dapat di tempat lain.

"Hanya MARA menyediakan peluang terbaik sebegini kepada gurunya," katanya yang menggelarkan dirinya sebagai Cikgu kepada Harian Metro.

Pada majlis Hari Anugerah Pendidik MARA, Shaariah menerima trofi, sijil anugerah dan wang RM5,000 disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mula bertugas sebagai Guru Bahasa Melayu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kulim, Kedah pada 1980, Shaariah berkata, cabaran pendidik kini dilihatnya semakin tinggi.

"Cabaran makin meningkat. Cikgu lihat zaman Cikgu berada di sekolah dahulu, murid, pelajar tidak ghairah seperti sekarang dari segi melawan guru.

"Ibu bapa tidak kritikal seperti dahulu dalam ambil tahu pasal pelajar, pengurusan maktab dan sebagainya. Guru di maktab mesti lebih bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 8:05 AM