TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul bersama Prabakaran (dua kiri). FOTO Yusmizal Dolah Aling
TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul bersama Prabakaran (dua kiri). FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


ISU banjir yang melanda beberapa kawasan di ibu negara akan dibawa ke Parlimen, Isnin ini untuk dibahaskan dan sebarang tindakan akan memberi manfaat kepada warga kota.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, biarpun isu berkenaan bukan perkara baru, ia akan diangkat ke Dewan Rakyat bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk membantu mereka yang terjejas.

Katanya, kawasan di parlimen Bukit Bintang, Batu dan Segambut adalah lokasi sering berlaku banjir dan pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk yang mahu masalah itu ditangani segera.

“Bukan saja di kawasan saya di Batu, ia membabitkan kawasan yang bersebelahan seperti Wangsa Maju dan Kepong. Setakat ini lima parlimen ini berdepan isu banjir setiap kali hujan lebat melebihi dua jam.

“Saya akan bawa ke sesi parlimen Isnin ini dan berharap ia akan diberi perhatian kementerian. Isu ini juga sudah dimaklumkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Isu ini saya rasa penting, jadi saya nak bersuara dalam parlimen dan nak tahu apa inisiatif pihak berwajib,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Sharuddin Md Salleh dan wakil Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul Mohd Firdaus Ahmad Suhaimi.

Sementara itu, Dr Shahruddin berkata, perkara itu sudah dibawa kepada pertimbangan kementeriannya dan akan diperhalusi untuk mencari jalan penyelesaian.

Katanya, isu banjir di ibu negara memerlukan perhatian sewajarnya kerana ia kerap berlaku terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.

“Ya. Kita akan bawa ke parlimen untuk dibahaskan. Kementerian serius untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Gambar Yusmizal Dolah Aling

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 5:38 PM