Yusmizal Dolah Aling


“CIKGU, tolong ajar saya mengaji. Saya nak bawa ibu pergi umrah dan haji satu hari nanti,” kata Khairul Yap, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Dia yang baru kematian ayah kira-kira dua minggu lalu, meluahkan hasrat itu kepada Pengarah Kids With Purpose Project Mohd Farez Atan beberapa hari lalu kerana minat yang terlalu mendalam dalam bidang agama.

Menurutnya, dia kini memikirkan bagaimana untuk mendapatkan wang bagi membiayai pengajian al-Quran dan membeli bahan bacaan bagi memenuhi hasratnya itu.

“Saya tengok kawan-kawan sudah baca al-Quran, saya baru baca Iqra’ 6. Saya nak belajar agama sungguh-sungguh.

“Saya harap ada yang sudi bantu. Saya nak bawa emak pergi umrah nanti. Semoga hasrat saya ini tercapai,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Khairul berkata, arwah ayahnya adalah seorang mualaf yang bekerja sebagai pemandu teksi, mahu melihat dia berjaya dalam pelajaran.

Menurutnya, perbelanjaan persekolahannya kini ditanggung abangnya yang bekerja sebagai jurujual di ibu negara, menyebabkan kemampuan untuk membelikan bahan bacaan agak terhad.

KHAIRUL (kanan) meminta Mohd Farez mengajar beliau membaca al-Quran. FOTO Amirudin Sahib
KHAIRUL (kanan) meminta Mohd Farez mengajar beliau membaca al-Quran. FOTO Amirudin Sahib

Sementara itu Mohd Farez berkata, dia dimaklumkan mengenai kisah hidup Khairul oleh pelajar sekolah yang simpati kerana dia tidak mempunyai wang saku.

Katanya, menerusi projek Kindness Corner yang baru dilancarkan, dia dapat membantu Khairul mendapatkan makanan pada waktu rehat.

“Saya juga meminta ustaz dan ustazah di sekolah membantu Khairul belajar agama.

“Permintaannya itu juga menjentik hati saya kerana tidak ramai pelajar yang mahu mendalami agama seperti dia,” katanya.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keadaan keluarga Khairul dan akan meneliti bentuk bantuan yang sesuai.

“Saya akan aturkan pertemuan dalam minggu depan, kita akan bantu Khairul mengikut kesesuaian.

“Sebelum ini, menerusi Ziarah Cakna di peringkat parlimen, ramai juga yang sudah saya bantu. Menjadi tanggungjawab saya untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 9:00 PM