BERGAMBAR kenangan bersama penghuni.
BERGAMBAR kenangan bersama penghuni.
HM Digital

Selain peranannya memberi kefahaman dan pendidikan kepada saudara baharu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Wilayah Persekutuan juga tidak ketinggalan melaksanakan kebajikan kepada warga emas.

PERKIM Wilayah menganjurkan program Ziarah Kasih Pusat Jagaan Warga Emas Sentul East, Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aktiviti PERKIM Wilayah turun padang menyantuni 15 warga emas itu turut mendapat kerjasama PERKIM Cawangan Kepong Barat.

Pegawai Dakwah PERKIM Wilayah Mohd Jogi Panjaitan Maruli Panjaitan berkata, amalan ziarah kasih ke rumah warga emas adalah perbuatan terpuji dan ia menitikberatkan kesedaran kepada masyarakat dan ahli PERKIM khususnya dalam kepentingan hubungan warga emas.

“Kunjungan ini memberi kesan mendalam kepada peserta rombongan ziarah untuk lebih menghargai golongan lebih berusia terutama ibu bapa.

“Program ini juga dapat menunjukkan keprihatinan PERKIM Wilayah dalam melahirkan masyarakat penyayang dan menyuburkan budaya menyayangi iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri dengan kebajikan insan yang tidak berkisar kepada negara atau orang perseorangan,” katanya kepada Nuansa.

Katanya, program itu bertepatan dengan uslub dakwah dalam menziarahi warga emas dengan memberikan mereka harapan, kata-kata semangat dan tazkirah ringkas mengenai pentingnya menjaga hubungan dengan Allah pada hujung usia.

Selain itu, Jogi turut memberikan motivasi dan kaunseling kepada penghuni dan menerangkan kepada mereka bahawa apa sahaja yang berlaku ketika ini merupakan ujian yang perlu mengharapkan agar mendapat keampunan dan keredaan daripada Allah SWT.

“Kebanyakan warga emas ditempatkan di pusat ini kerana tidak mempunyai waris, anak tidak berkemampuan untuk menjaga dan tidak berkahwin.

“Mereka sering dibawa ke klinik atau hospital untuk rawatan susulan bagi penyakit yang dihadapi seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan strok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 10:56 AM