ANTARA peralatan pecah rumah yang ditemui dalam kereta dinaiki suspek. FOTO Ihsan Polis
ANTARA peralatan pecah rumah yang ditemui dalam kereta dinaiki suspek. FOTO Ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN tiga lelaki yang cuba melarikan diri dengan sebuah kereta ketika ditahan membongkar rahsia kegiatan pecah rumah mereka sebelum dua daripadanya berjaya ditahan sepasukan anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) di Lebuh raya BESRAYA, berdekatan susur Kuchai Lama, Salak Selatan Baru, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri menaiki kereta Perodua Myvi, namun terbabit dalam kemalangan selepas dikejar MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, ketika anggota MPV sedang menjalankan rondaan berhampiran Kampung Malaysia, pihaknya mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

"Kenderaan dinaiki tiga lelaki ini diminta untuk berhenti, namun secara tiba-tiba memecut dan melarikan diri. MPV itu mengejar kenderaan suspek dengan dibantu sebuah lagi MPV yang sedang meronda di kawasan berhampiran.

"Bagaimanapun, kenderaan dinaiki suspek hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan. Dua daripada suspek yang berusia 20 dan 45 tahun berjaya ditahan, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek menemui satu beg galas mengandungi peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah pecah rumah termasuk parang buatan sendiri dan pisau.

Katanya, semakan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan mendapati ia masih dilaporkan hilang di Kajang, Selangor.

"Pihak kami sedang mengesan seorang lagi suspek, manakala dua rakannya direman selama empat hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:52 PM