Irda Sharina dibantu anaknya Suhail Danial ketika menyertai Kejohanan Kuda Lasak 'RTES Endurance Ride 2019' di Terengganu International Endurance Park (TIEP) baru-baru ini. FOTO Rozainah Zakaria
Irda Sharina dibantu anaknya Suhail Danial ketika menyertai Kejohanan Kuda Lasak 'RTES Endurance Ride 2019' di Terengganu International Endurance Park (TIEP) baru-baru ini. FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad


MULANYA dia menunggang kuda sebagai rawatan alternatif untuk mengubati penyakit kekurangan sel darah merah yang dihidapi sejak lima bulan lalu.

Ajaibnya, kaedah rawatan itu bertukar kepada minat sehingga hari ini selepas kesihatannya semakin baik.

Malah, Irda Sharina Samsudin, 43, kini melangkah setapak lagi bergelar atlet berkuda selepas menyertai beberapa pertandingan bertaraf bintang termasuk kejohanan Royal Terengganu Endurance Stable di Lembah Bidong, Setiu bersama anaknya Suhail Danial Afik Safiallah, 19, yang berakhir hari ini.

Ketika ditemui, dia yang kini berlatih dan menyertai kelab Equestrian Cape Cavallho di Rembau, Negeri Sembilan berkata, selepas beberapa kali menggunakan terapi itu penyakit yang dihidapinya semakin baik.

“Pada masa itu saya ada masalah kesihatan iaitu kekurangan sel darah merah dan kekurangan oksigen dalam jantung menyebabkan badan lemah serta cepat letih.

“Rakan mengesyorkan mencuba kaedah ini walaupun pada awalnya saya tidak begitu yakin serta bimbang lebih-lebih lagi ketika itu ingin cuba cara mengayuh basikal, namun akhirnya saya menyahut cabaran rakan,” katanya.

Irda Sharina yang bekerja sebagai Ketua Sektor Awam CISCO Sistem Malaysia itu berkata, kali pertama menunggang kuda dia terus jatuh cinta dan setiap minggu datang ke kelab kuda itu yang terletak di ladang ternakan di Rembau untuk menjalani terapi biarpun pada mulanya hampir pitam serta pengsan.

“Bagaimanapun dengan izin dan kuasa Allah, penyakit yang saya hidapi kian sembuh serta bertambah baik, kini saya boleh menyertai pertandingan di Terengganu sejauh 40 kilometer tanpa mengalami sebarang masalah walaupun tidak mendapat tempat terbaik dalam kejohanan ini,” katanya yang sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada doktor sebelum menyertai sukan lasak berkenaan.

Katanya, dia bersyukur kerana pemilik kelab dan kuda itu, Noorlela Zarina Ismail, 56, serta suaminya, Naslan Jajuli, 57, adalah insan yang banyak membantu memulihkan kesihatannya.

“Kini kelab ini mempunyai 30 ahli dan menariknya semua ahli kelab yang ditubuhkan pada 2008 serta didaftarkan di bawah Majlis Sukan Negara adalah berkonsepkan kekeluargaan kerana ahlinya terdiri daripada suami, isteri dan anak.

“Selain sebagai terapi, penubuhan kelab ini adalah untuk menggalakkan penunggang junior terutama dalam kalangan anak ahli kelab sekali gus dapat merapatkan ikatan kekeluargaan serta membina sikap kepimpinan dan disiplin dalam kalangan ahli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 6:01 PM