GUGUR rambut dan keletihan adalah komplikasi kemoterapi.
GUGUR rambut dan keletihan adalah komplikasi kemoterapi.
Nurul Husna Mahmud


KIRA-KIRA satu dari 19 wanita Malaysia berisiko menghidap penyakit kanser payudara dan dengan lebih daripada 60 peratus didiagnos berada pada tahap lanjutan.

Menerima diagnosis pada tahap lanjutan sering kali membuat pesakit berputus asa kerana persepsi umum mengatakan peluang untuk sembuh adalah rendah.

Dalam memperkasa semangat dan kekuatan pesakit serta penjaga mereka bagi menepis persepsi berkenaan, Novartis Malaysia menganjurkan bengkel 'Staying Hopeful, Staying Strong: Surviving Advanced Breast Cancer.'

Bekas pesakit kanser payudara, Fara Aida Farid berkata, dengan menjalani rawatan yang wajar dan mengikut saranan pakar onkologi mencipta peluang lebih baik dalam menangani kanser terbabit.

Katanya yang didiagnos kanser terbabit pada 2010, pengalaman sendiri yang mengelak menjalani kemoterapi kerana bimbangkan kesan sampingan rawatan itu memberi ruang sel kanser merebak.

"Selepas mendapat keputusan diagnosis, pakar onkologi menasihati saya untuk menjalani kemoterapi, tetapi saya enggan kerana mendengar banyak kesan sampingan terutama keletihan dan keguguran rambut. Saya memutuskan untuk tidak meneruskannya dan mencuba ubat herba sebagai alternatif.

"Malangnya empat tahun kemudian, saya mendapati kanser sudah merebak. Sekali lagi pakar onkologi memberi harapan saya masih berpeluang mengurangkan perkembangan kanser dengan kemoterapi.

"Kali ini dia perkenalkan saya dengan pesakit lain yang turut menjalani prosedur rawatan yang sama dan dorongan pesakit itu juga memberi keberanian untuk mengatasi segala ketakutan sepanjang menjalani rawatan.

"Kanser saya terurus dengan baik dan sedang menjalani terapi hormon serta terapi bersasar," katanya yang menjalani gaya hidup aktif dengan aktiviti yang digemari iaitu menunggang kuda.

Pakar Perunding Onkologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Vaishnavi Jeyasingam menyifatkan kanser payudara peringkat lanjutan atau lebih popular digelar Advanced Breast Cancer (ABC) merujuk kepada pesakit tahap III dan IV apabila sel kanser merebak ke bahagian anggota badan lain.

"Kebiasaanya pada tahap ini akan mendapati sel kanser pesakit mulai merebak pada kawasan peparu, hati, tulang dan otak.

TERAPI hormon dan terapi bersasar bagi merawat pesakit kanser ABC.
TERAPI hormon dan terapi bersasar bagi merawat pesakit kanser ABC.

"Walaupun penyakit pada tahap ini tidak dapat disembuhkan, namun teknologi dalam rawatan terkini termasuk kemoterapi, radiasi, imunoterapi dan terapi bersasar menunjukan perkembangan positif yang memberangsangkan.

"Peningkatan yang dapat dilihat adalah pada tindak balas rawatan dan kadar kelangsungan hidup dan kurang kesan sampingan serta berupaya mengekalkan kualiti hidup yang baik dalam kalangan pesakit," katanya.

Tambah pakar itu lagi, kajian dan inovasi penyelidikan sedekad lalu mengenai penyakit itu berhasil mengkelaskan kanser payudara kepada tiga kategori iaitu kanser hormon positif, HER2-positif dan kanser payudara tiga kali ganda negatif.

Implikasi pengkelasan kanser itu membawa kepada rawatan yang disesuaikan mengikut klasifikasi serta latar belakang pesakit, masalah kesihatan dan keperluan sosial dan logistik.

Bagi ABC, bentuk rawatan utama adalah terapi ubatan sistemi, yang bermaksud ubat-ubatan akan mengalir dalam salur darah pesakit untuk mencapai kanser di seluruh bahagian badan.

Manakala Pengurus Besar Malaysia & Brunei, Novartis Oncology, Mohamed Elwakil berkata, pihaknya sentiasa komited menyokong komuniti kanser payudara sepanjang perjalanan mereka.

"Pada empat dekad lalu, pesakit hanya mempunyai pilihan rawatan radiasi, kemoterapi atau mastektomi. Kini dengan keupayaan mengenal pasti subjenis kanser payudara dan pilihan rawatan berkembang ke seluruh sistem penjagaan kesihatan kita.

"Sehubungan itu, kementerian turut berusaha sedaya upaya meningkatkan akses kepada ubat-ubatan inovatif. Kami

turut menyeru semua pesakit mengadakan perbincangan dengan pakar onkologi mengenai pilihan rawatan mereka.

"Menerusi bengkel ini, kami berharap dapat memberikan maklumat yang secukupnya kepada orang ramai mengenai pendapat pakar dan perkongsian pandangan pesakit untuk bagi memperkasa mereka dalam menguruskan ABC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 6:44 AM