BERNAMA

PERTEMUAN dua hala Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Canselor Republik Austria, Sebastian Kurz, di Federal Chancellery di Vienna, hari ini, mencipta sejarah sebagai pertemuan antara pemimpin tertua dan termuda di dunia.

Dr Mahathir adalah perdana menteri tertua dunia pada usia 93 tahun ketika ini selepas dilantik semula sebagai Perdana Menteri ketujuh susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU1-14), pada Mei tahun lalu.

Dr Mahathir adalah Perdana Menteri keempat dari 1981 hingga 2003.

Dalam pada itu, Kurz, kini berusia 32 tahun, menjadi pemimpin dunia termuda selepas parti konservatif, Parti Rakyat Austria (OVP), yang dipimpinnya, memenangi Pilihan Raya Parlimen negara itu tahun lalu.

DR MAHATHIR (kanan) mengadakan pertemuan dengan  Kurz, di Federal Chancellery, hari ini. FOTO BERNAMA
DR MAHATHIR (kanan) mengadakan pertemuan dengan Kurz, di Federal Chancellery, hari ini. FOTO BERNAMA

Dr Mahathir kini mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Austria untuk menghadiri dua forum antirasuah iaitu Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) serta menyampaikan syarahan di International Anti Corruption Academy (IACA).

Ini adalah lawatan kedua Dr Mahathir ke Austria dengan kali terakhir pada 1985 ketika menyandang jawatan Perdana Menteri keempat.

Dr Mahathir, yang tiba di sini semalam, diiringi oleh isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 9:16 PM