ARDERN dilantik menjadi Perdana Menteri New Zealand bagi penggal kedua selepas menang pilihan raya 17 Oktober lalu.
ARDERN dilantik menjadi Perdana Menteri New Zealand bagi penggal kedua selepas menang pilihan raya 17 Oktober lalu.
Nadir Al Nuri

JACINDA Ardern mencuri tumpuan dunia apabila memenangi Pilihan Raya New Zealand dengan mudah pada 17 Oktober yang lalu.

Walaupun ia kemenangan yang tidak mengejutkan dan sudah dijangka, faktor yang membawa kepada pemilihan beliau untuk penggal kedua menarik untuk diperhatikan.

Kekuatan kepemimpinan Ardern boleh disimpulkan dalam tiga perkataan – empati, karisma dan fokus. Dalam keadaan dunia sedang dipenuhi kebencian, perpecahan dan wabak, mesej yang diulang Ardern berkali-kali dalam kempen pilihan raya be strong be kind melekat di hati rakyat.

Mesej itu tidak akan diterima jika ia hanya diangkat sebagai retorik pilihan raya. Tetapi, ia berkesan kerana usaha kumulatif Ardern menunjukkan bahawa beliau tidak bercakap kosong.

Pada tahun 2018, Ardern mencuri tumpuan dan menzahirkan empati apabila membawa anaknya ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas menjadi wanita kedua dalam sejarah melahirkan anak ketika sedang berada di puncak kuasa.

Pada tahun sama, beliau juga bersuara berkaitan pusat-pusat rehabilitasi Xinjiang di China yang digunakan untuk menindas penduduk minoriti Muslim Uighur dan melahirkan kebimbangan terhadap apa yang dihadapi penduduk Rohingya di Myanmar, dua topik yang cliche dan jarang disebut pemimpin lain dunia.

Tahun lalu, Ardern sekali lagi diangkat di pentas antarabangsa apabila menunjukkan empati terhadap mangsa serangan pengganas di sebuah masjid di Christchurch yang mengorbankan 51 nyawa.

Beliau turun menemui mangsa dengan memakai litup kepala dan mengisytiharkan sekatan ke atas senjata api tidak lama selepas itu walaupun berdepan kritikan. Empati yang sama ditunjukkan apabila penduduk negaranya diuji pula dengan letupan gunung berapi White Island.

Akhirnya, Ardern memenangi hati rakyat dalam berdepan krisis Covid-19 pula melalui tindakan berfokus dan cekap menutup sempadan negara sejak awal walaupun pakar mengatakan bahawa ia akan menyebabkan keruntuhan ekonomi.

Pengkritik membangkitkan bahawa kali ini Ardern menang kerana karakter dan keterampilan, bukan isi dan kejayaan membawa perubahan.

Ternyata walaupun berjaya memimpin Parti Buruh dalam kejayaan paling besar sejak 70 tahun lepas, Ardern kini berdepan tugas lebih mencabar untuk terus berada di puncak kerana rakyat akan mula menilai pelan pemulihan ekonomi, polisi kesamarataan dan lain-lain janji yang dilontarkan sejak penggal pertama pemerintahannya sebagai Perdana Menteri New Zealand.

Dari sisi pandang yang lebih besar, Ardern yang baharu berusia 40 tahun diangkat sebagai contoh kepemimpinan muda yang sedang menjadi gelombang di pentas politik dunia hari ini. Tetapi, betulkah anak muda sedang diberi ruang dan peluang untuk beraksi?

Jawapannya ya dan tidak. Kalau kita membuat sedikit kajian berkaitan pemimpin-pemimpin termuda di dunia, selain Ardern nama-nama seperti Sebastian Kurz, 34 tahun, Sanna Marin, 35, dan Nayib Bukele, 39, adalah antara nama yang akan naik.

Ya, mereka muda tetapi adakah mereka 'hijau' dalam politik? Tidak. Ardern mula menjadi ahli parlimen 12 tahun lalu, Sebastian Kurz, Canselor Austria sudah berpencak di medan politik selama 17 tahun dan Sanna Marin yang dilantik sebagai PM Finland akhir tahun lalu sudah berkecimpung sejak awal usia 20-an.

Mungkin model yang boleh diikuti untuk 'cepat naik' ialah model Bukele. Bukele, Presiden El Salvador yang dibuang daripada parti asal menubuhkan parti baharu Nuevas Ideas (New Ideas) supaya beliau boleh bertanding di kerusi presiden dan berjaya memenanginya.

Bukele juga pengguna tegar media sosial dengan mempunyai 1.2 juta pengikut di Twitter. Selain pemimpin di atas, pemimpin muda lain yang kerap disebut ialah Kim Jong-un, pemimpin Korea Utara berusia 37 tahun, Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Qatar berusia 40 tahun dan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck, Raja Bhutan berusia 40 tahun.

Adakah mereka naik dalam sistem berdemokrasi? Tidak. Perjuangan politik dan membawa perubahan adalah perjalanan yang panjang dan sukar. Kebijaksanaan memenangi hati rakyat di waktu pandemik adalah sangat penting.

Mengasah bakat kepemimpinan muda dengan panduan yang tua juga sangat penting. Semoga suatu hari kelak gandingan lebih erat tua dan muda akan terus memacu negara ke tahap lebih baik dan tinggi di persada dunia.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 5:59 AM