ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki rentung selepas terperangkap di tingkat atas rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Jalan Keembong 18, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini. FOTO Fahmi Yusof.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat lelaki rentung selepas terperangkap di tingkat atas rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Jalan Keembong 18, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini. FOTO Fahmi Yusof.
Mohd Fahmi Mohd Yusof


LELAKI lumpuh separuh badan rentung selepas terperangkap dalam rumahnya yang terbakar di Jalan Keembong 18, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa, S Krishnan, 55, rentung selepas terperangkap di tingkat atas rumahnya yang terbakar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Fauzan Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.05 petang.

Katanya, dua jentera dengan kekuatan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Pihak bomba tiba di lokasi kejadian pada 6.13 petang dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran.

“Kebakaran turut menyebabkan rumah jiran terbakar kira-kira 15 peratus.

“Ketika membuat pemadaman, pihak bomba menemui satu mayat rentung hampir keseluruhan badan di tingkat atas rumah itu sebelum membawa mayat berkenaan turun untuk diserah kepada pihak polis,” katanya pada sidang media sejurus melawat lokasi kejadian itu.

Sementara itu, jiran mangsa, R Nagan, 40, berkata dia menyedari kebakaran itu pada 6 petang selepas mendengar bunyi bising di luar rumah.

“Mangsa memang lumpuh akibat strok sejak lima tahun lalu dan api marak dengan cepat sehingga tidak dapat membantu memadam kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 10:29 PM