Nur Saliawati Salberi dan Syafiq Zainol Avidin


Melaka: Lelaki ditemui rentung manakala isterinya melecur selepas kediaman mereka terbakar di Taman Seri Paya Rumput Dua, Melaka Tengah di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa, Saleem Madumukkil Parambil, 50-an, ditemui rentung di dalam tandas bilik tidur utama di tingkat atas kediaman terbabit.

Sementara itu, isteri mangsa, Junaidah Hatta, 43, diselamatkan orang ramai yang mengumpil jeriji tingkap terbabit.

Manakala ibu dan bapa mertua mangsa yang berusia 64 tahun menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Adli Abdul Rahman berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.21 petang, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bersama 11 anggota termasuk seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran dipercayai berlaku di tingkat atas rumah teres dua tingkat berkenaan mengakibatkan keseluruhannya musnah.

"Mayat mangsa ditemui sebaik api dapat dipadam di dalam tandas manakala isteri diselamatkan orang awam. Ibu dan bapa dan mentua mangsa ditemui di tingkat bawah rumah.

"Punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti. Isteri dan ibu mertuanya dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 10:27 PM
TINGKAT atas rumah mangsa yang terbakar. FOTO Zuhaire Zuber
TINGKAT atas rumah mangsa yang terbakar. FOTO Zuhaire Zuber