NORDIN Ali memberi makan sebahagian kucing yang dipeliharanya ketika ditemui di kediamannya dekat kampung Padang Temu. FOTO Nazri Abu Bakar
NORDIN Ali memberi makan sebahagian kucing yang dipeliharanya ketika ditemui di kediamannya dekat kampung Padang Temu. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


“SETIAP kali melihat anak kucing terbiar di tepi jalan, saya pasti akan ambil dan membawanya pulang ke rumah,” kata Nordin Ali ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Temu, Melaka, hari ini.

Sikap prihatin warga emas berusia 80 tahun itu boleh dilihat apabila cukup mesra membelai lebih 20 ekor kucing pelbagai jenis baka tempatan yang kesemuanya diambil di tepi jalan.

Malah jumlah itu jauh lebih besar kerana dia turut memberi makan kepada kucing yang berkeliaran berhampiran rumahnya.

Nordin yang menetap bersama isterinya, Maznah Ali, 56, turut mengingati semua nama kucing kesayangannya yang dinamakan seperti Aca, Jantan, Tani, Gunja dan Aceh yang memberi makna tersendiri dalam hidupnya selain ada kucing dinamakan sempena judul filem Hindustan dan Tamil.

“Saya hanya mengutip kucing terbiar atau dibuang. Ini bagi memastikan kucing terbuang terutama yang baharu lahir tidak menjadi mangsa dilanggar kenderaan atau mati kelaparan.

“Tetapi saya enggan menerima kucing yang cuba dihadiahkan kerana mahu mendidik mereka untuk turut sama menyayangi haiwan ini,” katanya.

Nordin berkata, dia membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk membeli makanan kucing kesayangan, dan sanggup mengeluarkan wang pencen untuk kos rawatan kucing sakit yang kadang kala mencecah RM80.

Katanya, semua itu dilakukan sebagai bukti kasih sayangnya kepada haiwan berkenaan, lebih-lebih lagi dia hanya tinggal berdua dengan isterinya di rumah pusaka terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 1:14 PM