AHLI Kelab Kucing Malaysia bersama kucing jalanan peliharaan mereka.
AHLI Kelab Kucing Malaysia bersama kucing jalanan peliharaan mereka.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Minat dan menyukai haiwan peliharaan seperti kucing perlu dipupuk lebih awal supaya mudah untuk menerima kehadiran haiwan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

Misalnya, kes penderaan haiwan terbabit sering dikaitkan dengan ketiadaan perasaan belas ihsan terhadap kucing hingga menyebabkan seseorang itu sanggup bertindak kejam.

Sehubungan itu, Kelab Kucing Malaysia (KKM) mengambil langkah proaktif mendekatkan kanak-kanak dengan haiwan berkenaan dalam satu Majlis Bergambar Suasana Hari Raya Bersama Kucing Kesayangan, baru-baru ini.

Dalam program berkenaan, empat kucing milik ahli kelab terbabit yang menggayakan pakaian raya dibiarkan bermesra dengan 60 anak yatim dari Rumah Anak-Anak Pusat Jagaan Kasih Murni, Kuala Lumpur.

Presiden KKM, Khalid Rashid berkata, itu adalah program baru dilakukan kelab berkenaan dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya generasi muda agar menyayangi haiwan kesayangan Rasulullah SAW.

“Tiga kucing betina dan seekor jantan ini pada asalnya adalah kucing jalanan terbiar yang diserahkan kepada ahli kelab.

“Tapi kita (ahli kelab) pelihara kucing ini dengan memberikan penjagaan betul termasuk makanan berkhasiat hingga ia kelihatan seperti kucing kacukan yang mahal,” katanya.

KELAB Kucing Malaysia meraikan kanak-kanak.
KELAB Kucing Malaysia meraikan kanak-kanak.

Malah beliau juga tidak menafikan kucing memiliki ciri hampir sama dengan manusia yang memerlukan curahan kasih sayang dan perhatian.

“Tidak salah kita memanjakan haiwan berkenaan kerana ia mampu memberi kesan terapi kepada manusia jika berada dalam keadaan tertekan,” katanya.

Katanya, anggaplah kucing sebagai sahabat dan bukan menzaliminya.

Selain itu katanya, kelab berkenaan tidak pernah berhenti dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kucing jalanan.

“Usaha yang berterusan menampakkan hasil apabila semakin ramai yang prihatin dengan haiwan ini.

“Jumlah kucing jalanan yang terbiar juga semakin berkurangan kerana ramai yang secara sukarela menjaga haiwan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 10:11 AM