Farah Marshita Abdul Patah


LELAKI didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, atas tuduhan menipu kakak kandungnya untuk menyerahkan wang berjumlah lebih RM60,000 dengan menyamar sebagai Ah Long.

Johari Mokhtar, 49, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Berdasarkan pertuduhan, Johari didakwa menipu Rogayah, 56, dengan memperdayakan kakaknya untuk mempercayai bahawa dia adalah Ah Long.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM61,500 kepada adiknya dengan memasukkannya ke dalam akaun bank.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan AU 2A/1 Taman Sri Keramat, di sini, pada 6 petang, 17 Disember tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikurangkan jaminan dengan alasan hanya bekerja sendiri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, mangsa menerima mesej daripada tertuduh memaklumkan diculik oleh Ah Long kerana berhutang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 4:31 PM