TERTUDUH (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
TERTUDUH (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menipu pelakon Datuk Mohd Fairus Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz berjumlah RM18,100 membabitkan projek pembersihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Khairul Khuzaini Zamsani, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khairul Khuzaini didakwa menipu Mohd Fairus Zainal Abidin, 42, sehingga mempercayai beliau memiliki projek pembersihan daripada DBKL berjumlah RM1,810,000.

Tindakan itu mendorong Mohd Fairus memasukkan wang ke dalam akaun Maybank milik tertuduh berjumlah RM18,100 di kondominium, Jalan Dutamas Raya, Mont Kiara, di sini, pada 3.52 petang, 6 Jun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya, menerusi peguam Khairul Mukhtar memohon dibenarkan jaminan RM2,000 dengan alasan merupakan penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan, Fizz Fairuz menanggung kerugian RM18,000 selepas ditipu seorang individu berstatus Datuk Seri yang kononnya membuka tender kontrak pembersihan menggunakan nama DBKL.

Susulan itu, Fizz Fairuz membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul pada 1.30 petang, 21 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 5:30 PM