MANGSA yang ditetak anak tirinya mendapat rawatan di Hospital Sibu. FOTO ihsan Polis
MANGSA yang ditetak anak tirinya mendapat rawatan di Hospital Sibu. FOTO ihsan Polis
Harun Yahya


LELAKI menerima lima jahitan di kepala selepas ditetak anak tirinya di Jalan Teku Lama, Sibu, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo berkata, kejadian berlaku apabila anak tirinya yang berusia 23 tahun pulang dalam keadaan mabuk dan bertindak kasar terhadap ibunya.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 51 tahun cuba menenangkan suspek, namun anak tirinya itu bertindak agresif dengan menetak kepalanya menggunakan pisau pemotong daging.

“Selepas kejadian, mangsa lari keluar dari rumah dan dibawa ke Hospital Sibu oleh jirannya untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Martin berkata, kejadian itu dipercayai berpunca perasaan kurang senang suspek sejak mangsa berkahwin dengan ibunya.

“Sebelum ini, mangsa juga pernah dipukul oleh suspek tetapi tidak ada laporan dibuat,” katanya yang memaklumkan suspek ditangkap sebaik laporan diterima kelmarin dan pisau yang digunakan turut dirampas.

Beliau berkata, pihaknya sudah mendapatkan perintah Mahkamah Sibu untuk menahan reman suspek selama tujuh hari sehingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 3:38 PM