TATU di lengan seorang lelaki yang belum dikenal pasti identiti yang meninggal dunia dipercayai terlebih mengambil dadah. FOTO Harun Yahya
TATU di lengan seorang lelaki yang belum dikenal pasti identiti yang meninggal dunia dipercayai terlebih mengambil dadah. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


LELAKI yang ditemui tidak bermaya di sebuah rumah di Jalan Laichee, di sini, dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sibu, pagi semalam, dipercayai akibat pengambilan dadah berlebihan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo berkata, lelaki berusia 40-an itu ditemui orang awam dalam keadaan tidak bermaya dalam rumah terbabit 12:28 tengah malam kelmarin.

“Ketika anggota polis tiba, lelaki yang disangka mabuk itu berada dalam keadaan amat lemah dan hanya berseluar dalam.

“Polis kemudiannya membawa lelaki itu ke balai namun dalam perjalanan, mulutnya tiba-tiba berbuih,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Martin berkata, polis kemudiannya menghubungi ambulans untuk membawanya ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, doktor mengesahkan lelaki itu meninggal dunia pada 8.25 pagi semalam dan kematiannya dipercayai akibat pengambilan dadah berlebihan selepas ujian mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat di Rumah Mayat Hospital Sibu mendapati tiada kecederaan atau kesan pergelutan pada tubuhnya,” katanya.

Katanya, identiti lelaki terbabit belum dikenal pasti namun dia dipercayai penduduk tempatan.

“Si mati mempunyai tatu di kedua-dua lengannya dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 2:57 PM