Antara penari tiang warga Thailand yang dicekup dalam serbuan JIM Pahang dengan kerjasama AADK Pahang ke atas kelab tarian. (Gambar kecil) Kain selempang RM5,000. FOTO Ihsan JIM
Antara penari tiang warga Thailand yang dicekup dalam serbuan JIM Pahang dengan kerjasama AADK Pahang ke atas kelab tarian. (Gambar kecil) Kain selempang RM5,000. FOTO Ihsan JIM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


MENYAJIKAN tarian mengasyikkan bagi menarik perhatian pelanggan mengalungkan selempang, memakaikan mahkota berlian dan menyarungkan jubah dengan nilai ribuan ringgit.

Itu pakej berahi ditawarkan sebuah kelab tarian tiang, di Kuantan apabila menjadikan gadis genit dari Thailand sebagai modal menarik kehadiran pelanggan menonton aksi ‘Thai Girl Show’.

Pusat hiburan dipercayai beroperasi sejak tahun lalu juga didakwa menjadikan hadiah mewah itu sebagai pendapatan sampingan lumayan, jika berjaya dijual kepada lelaki hidung belang untuk diberikan kepada penari tiang yang menawan hati mereka.

NSTP yang menyertai serbuan Jabatan Imigresen Pahang dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang di pusat hiburan itu malam tadi, mendapati pakej selempang ditawarkan pemilik kelab malam terbabit pada harga serendah RM200 kepada pelanggan.

Seorang pekerja pusat hiburan itu yang berasal dari Bangladesh berkata, kebanyakan pelanggan akan membeli selempang dijual di premis hiburan terbabit selepas menyaksikan aksi tarian tiang dipersembahkan wanita Thailand.

“Ada yang sanggup membeli selempang atau jubah mencecah RM5,000 untuk dihadiahkan kepada penari wanita yang mereka suka, kalau hendak melakukan hubungan seks, mungkin mereka deal (bincang) di luar premis.

“Tarian tiang dipersembahkan wanita Thailand di sini adalah daya penarik utama untuk pelanggan datang berhibur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Pahang, Muhammad Hatta Kassim berkata, operasi bermula jam 11 malam itu dilancarkan selepas pihaknya melakukan risikan sejak minggu lalu.

Beliau berkata, seramai sembilan wanita warga Thailand berusia 20 hingga 32 tahun ditahan dalam serbuan terbabit.

“Pemeriksaan dijalankan di premis itu turut menahan dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas tamat operasi itu, awal pagi tadi.

Muhammad Hatta berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial.

Katanya, semua mereka ditahan untuk tempoh 14 hari sebelum dibawa ke Mahkamah Pendatang Asing Tanpa Izin di Temerloh untuk pendakwaan.

Sementara itu, Muhammad Hatta berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan di tujuh rumah kongsi didiami warga asing dan sebuah lagi pusat hiburan di sekitar daerah ini dan berjaya memberkas 31 warga asing berusia 17 hingga 50 tahun atas pelbagai kesalahan, antaranya kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan menyalahguna pas lawatan sosial.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, tujuh lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine dan opiat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 10:27 AM