Muhaamad Hafis Nawawi


MAHKOTA dan kain selempang bak Ratu Cantik menjadi simbolik Pelayan Pelanggan (GRO) warga asing sudah ditempah khas lelaki miang yang mahu mendapatkan khidmat seks mereka.

Difahamkan, pelanggan perlu membeli mahkota dan kain selempang terbabit pada harga antara RM100 hingga RM1,000 setiap satu sebelum disarungkan pada GRO itu.

Bagaimanapun, mereka yang sedang leka melayan tetamu dan disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran tergamam apabila diserbu polis malam tadi di dua pusat hiburan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, malam tadi.

Serbuan bermula 12.10 malam itu diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad bersama dua pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menerusi Op Noda.

Hasil serbuan itu, seramai 59 warga asing Thailand dan Vietnam ditahan bersama tiga lelaki dan seorang wanita tempatan.

Ketika ditahan, ada yang sedang leka melayan pelanggan.

Menurut sumber, dalam serbuan pertama seramai 44 wanita Thailand dan lima Vietnam ditahan.

“Turut ditahan dua lelaki bekerja sebagai penjaga dan DJ serta wanita bekerja sebagai pelayan.

“Dua resit perniagaan, 10 selempang pelbagai harga dari nilai RM100 hingga RM1,000, tiga mahkota dan wang tunai RM350 dirampas.

“Serbuan kedua pula menahan enam wanita Vietnam dan empat Thailand kerana disyaki bekerja sebagai GRO bersama seorang lelaki dipercayai sebagai perantara,” katanya.

Sumber berkata, polis turut merampas dua resit perniagaan dan wang tunai RM350.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit memiliki lesen hiburan malam yang sah untuk karaoke, muzik dan nyanyian dengan waktu operasi dari 5 petang hingga 3 pagi.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 55(B) / Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959 / 1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 11:31 AM
ANTARA GRO yang ditahan dalam dua serbuan di pusat hiburan di Jalan Imbi malam tadi. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
ANTARA GRO yang ditahan dalam dua serbuan di pusat hiburan di Jalan Imbi malam tadi. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi