ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA GRO yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Hidayatul Akmal Ahmad dan Nurul Hidayah Bahaudin


BUKAN saja kalungan bunga dan mahkota, malah pelanggan juga ditawarkan untuk menyarungkan jubah khas kepada wanita pilihan dengan harga RM1,000 hingga RM5,000.

Itu pakej ditawarkan sebuah pusat hiburan di Puchong, yang menawarkan khidmat wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing bagi pelanggan yang datang berhibur di premis berkenaan.

Seorang pekerja tempatan di pusat hiburan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 25, memaklumkan GRO berkenaan dihantar seseorang ke premis berkenaan kira-kira 8 malam sebelum dijemput 3 pagi, setiap hari.

“Mereka (GRO) tidak menetap di sini. Gaji mereka pula bergantung kepada tip diberikan pelanggan mengikut kategori sama ada dalam bentuk kalungan bunga, mahkota atau jubah.

“Bagi kalungan bunga, harga ditetapkan adalah antara RM50 hingga RM150, manakala mahkota pula berharga RM300 selain jubah dengan harga antara RM1,000 hingga RM5,000,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di Subang Jaya, malam tadi.

Dalam Operasi Gegar (Op Gegar) bermula kira-kira jam 10 malam itu, dua pusat hiburan di Puchong dan Klang diserbu sepasukan pegawai daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.

Pengarah JIM Selangor Mohd Shukri Nawi berkata, seramai 88 individu diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang lelaki serta lima majikan tempatan ditahan dalam operasi itu.

“Warga asing yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun terdiri daripada warganegara Vietnam, Thailand dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor sebelum ditahan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa atas pelbagai pas selain Peraturan 39b kerana melanggar syarat pas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Bagi warga tempatan yang ditahan dalam operasi itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 51(5)(a) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 6:30 PM