Pelayan GRO warga asing ditahan dalam serbuan Ops Noda  sebuah pusat hiburan di Bandar Utama, Petaling Jaya. FOTO IHSAN PDRM
Pelayan GRO warga asing ditahan dalam serbuan Ops Noda sebuah pusat hiburan di Bandar Utama, Petaling Jaya. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Berselindung di sebalik premis perniagaan dalam bangunan pejabat dengan dikawal ahli kongsi gelap bagi memastikan hanya pelanggan terpilih boleh memasukinya.

Itu taktik sebuah pusat hiburan di Bandar Utama, di sini, yang menyediakan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing di mana pelanggan perlu membeli selempang bermula harga RM50 hingga RM500.

Bagaimanapun, kegiatan premis terbabit terbongkar selepas sepasukan 32 anggota Bahagian Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism (D7) Bukit Aman menyerbu pusat hiburan itu menerusi Operasi Noda.

Dalam kenyataan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 20 wanita warga asing bekerja sebagai GRO selain seorang lelaki warga tempatan dipercayai ejen GRO turut ditahan untuk siasatan.

"Dalam operasi sama, turut ditahan ialah 16 warga asing dan tempatan yang bertindak sebagai pengurus, penjaga kaunter, penjual kalungan bunga, pemain muzik dan juga 'mummy'.

"Polis turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kerana disyaki ahli pertubuhan yang diwartakan haram mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, pusat hiburan berkonsep open pub berada dalam bangunan 27 tingkat dengan dikawal oleh 'bouncer' yang juga ahli kongsi gelap bagi memastikan hanya pelanggan terpilih akan memasuki premis itu.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pelanggan yang ingin melanggan GRO, perlu membeli selempang yang dijadikan sebagai tips, bermula dengan nilai RM50 hingga RM500 untuk setiap seorang.

"Kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 3:34 PM