SERAMAI 22 GRO ditahan dalam serbuan JIM Pulau Pinang di Bangunan Wisma Chong Khee Soon, di sini. FOTO Ihsan JIM.
SERAMAI 22 GRO ditahan dalam serbuan JIM Pulau Pinang di Bangunan Wisma Chong Khee Soon, di sini. FOTO Ihsan JIM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sembunyi di stor sebaik premis hiburan diserbu.

Itu tindakan 22 warga asing yang bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di Bangunan Wisma Chong Khee Soon, Jalan Dr Lim Chwee Leong, Georgetown, Pulau Pinang.

Helah itu terbongkar dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam serbuan pada jam 10.30 malam semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya memeriksa 32 individu dan menahan 22 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada lima wanita warga Vietnam, 15 wanita warga Thailand dan dua lelaki warga Thailand yang berpakaian serta perwatakan wanita.

"Operasi ini dijalankan berdasarkan daripada aduan awam dan risikan JIM berkenaan kegiatan pusat hiburan yang menawarkan wanita warga asing sebagai GRO, "katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika serbuan, dijalankan, warga asing ini melarikan diri dengan naik ke tingkat atas premis dan bersembunyi dalam stor di tingkat dua.

"Stor ini agak gelap serta dipenuhi barang-barang perabot dan barangan elektrik yang rosak. Pegawai serbuan terpaksa menyelongkar di celah-celah timbunan perabot yang rosak bagi mengesan semua suspek sehingga mereka berjaya ditahan dan ditangkap.

"Hasil siasatan awal di lokasi serbuan mendapati pusat hiburan ini menawarkan GRO wanita asing untuk melayan dan sebagai teman pelanggan berhibur, "katanya.

Menurutnya, pelanggan perlu membeli selempang untuk dihadiahkan kepada GRO yang dipilih.

"Setiap selempang berharga dari RM100 hingga RM300. Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menyalahgunakan Pas Jangka Panjang, menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:49 PM