ANGGOTA APM Kuantan (dari kanan) Mohd Zulhafiq Mohd Zahidi, Nurul Ain Zulkafli dan Muhammad Ikram Zulkefli menunjukkan labi-labi yang ditemui di Taman Bukit Pelindung, Kuantan, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
ANGGOTA APM Kuantan (dari kanan) Mohd Zulhafiq Mohd Zahidi, Nurul Ain Zulkafli dan Muhammad Ikram Zulkefli menunjukkan labi-labi yang ditemui di Taman Bukit Pelindung, Kuantan, hari ini. Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Amin Ridzuan Ishak


PENEMUAN labi-labi muncung babi atau nama saintifiknya, Carettochelys insculpta di Taman Bukit Pelindung di Kuantan, hari ini menimbulkan persoalan kerana spesies berkenaan bukan berasal dari Malaysia.

Reptilia berasal dari Utara Australia dan Selatan New Guinea itu mungkin dibela penduduk tempatan yang membawanya masuk dari luar negara sebelum melepaskannya apabila ia sudah besar.

Ia dianggarkan seberat tujuh kilogram (kg) berkenaan diselamatkan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan yang menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Difahamkan, ia tersekat dalam longkang di kawasan perumahan berkenaan dan mengalami kesukaran bergerak ketika ditemui orang awam yang ingin ‘berjogging’.

Jurucakap APM Kuantan, berkata enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat dan tiba 15 minit kemudian untuk melancarkan operasi menyelamat.

“Kita mengambil masa selama 20 minit untuk membawanya keluar kerana perlu berhati-hati, bimbang juga jika ia menyerang,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pada mulanya pihaknya ingin melepaskan reptilia itu, namun membatalkannya selepas mendapat maklumat yang mendakwa spesies berkenaan tidak pernah ditemui di Malaysia.

“Susulan itu kami menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi memaklumkan penemuan terbabit untuk mendapatkan nasihat.

“Wakil PERHILITAN Pahang yang datang memeriksa dan mengambilnya mengesahkan bahawa spesies itu tidak pernah ditemui di Malaysia, ada kemungkinan individu membelanya melepaskan apabila ia sudah besar,” katanya.

Katanya, difahamkan PERHILITAN Pahang akan membuat pemeriksaan terhadap reptilia berkenaan dan menyiasat bagaimana ia boleh ditemui di Malaysia sama ada dibawa masuk oleh individu membelanya atau sudah ada di persekitaran negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 4:40 PM