Zuliaty Zulkiffli


ULAR sawa batik ditemui kekenyangan di kawasan semak selepas dipercayai membaham beberapa ekor kucing milik penduduk di Kampung Belukar, Gelong Rambai, Tunjang, dekat Jitra, semalam.

Ular sawa seberat 30 kilogram (kg) dan sepanjang hampir empat meter itu dipercayai melingkar dalam timbunan semak selepas kawasan hutan berdekatan diteroka untuk projek pembangunan.

Ketua Skuad Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu, Azhari Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.55 petang semalam, dan sepasukan tiga anggota bergegas ke lokasi untuk menangkap ular berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa untuk mengesan kedudukan ular itu kerana reptilia itu berselindung di dalam timbunan rumput kering yang sudah dipotong.

“Ketika ditemui ular itu bertindak agresif dan cuba menyerang anggota APM, namun dengan kemahiran yang ada, kami berjaya mengawal keadaan.

“Reptilia itu mungkin cuba menyerang kerana terasa terancam memandangkan habitatnya terganggu atau kelaparan,” katanya ketika ditemui di pejabat APM Kubang Pasu, di sini.

Azhari berkata, berdasarkan maklumat penduduk, banyak kucing peliharaan mereka dilaporkan hilang sejak kebelakangan ini dan berkemungkinan menjadi makanan ular berkenaan.

Katanya, kawasan penemuan ular itu juga hampir dengan rumah beberapa penduduk, malah tidak menolak kemungkinan ular berkenaan sedang mencari tempat berlindung.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, ular sawa itu kemudian dibawa ke pejabat APM Kubang Pasu untuk disimpan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, sepanjang tempoh lima hari lalu, pihaknya berjaya menyelesaikan 17 kes tangkapan ular pelbagai spesis di daerah ini dan kebanyakannya cuba berlindung di rumah penduduk.

“Ular sawa batik ini adalah yang terbesar kami tangkap bulan ini dan saya harap orang ramai supaya berhati-hati sekiranya ternampak ular memasuki kediaman mereka.

“Sebaiknya hubungi pasukan penyelamat untuk membantu menangkap ular berkenaan sebagai langkah keselamatan kerana anggota kami mempunyai alat kelengkapan khas serta kemahiran menangkap reptilia berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:49 PM
ANGGOTA APM memegang ular sawa batik yang ditangkap di Kampung Belukar, Gelong Rambai Tunjang. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM memegang ular sawa batik yang ditangkap di Kampung Belukar, Gelong Rambai Tunjang. FOTO Zuliaty Zulkiffli