ZUBAIDAH Said (dua dari kanan) dan pasukan APM bersama ular sawa batik seberat 100 kilogram yang ditangkap di Taman Perlindung Perdana. FOTO MOHD RAFI MAMAT
ZUBAIDAH Said (dua dari kanan) dan pasukan APM bersama ular sawa batik seberat 100 kilogram yang ditangkap di Taman Perlindung Perdana. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Ular sawa batik seberat 100 kilogram yang ditangkap di Taman Pelindung Perdana, di sini antara 14 reptilia berkenaan yang ditangkap dalam tempoh seminggu musim tengkujuh kali ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan Kapten (PA) Zubaidah Said berkata, setiap kali musim hujan jumlah tangkap ular pelbagai spesies dan saiz akan bertambah hingga dua kali ganda berbanding musim panas.

Menurutnya, kawasan habitat ular ditenggelami air antara faktor utama reptilia berkenaan keluar selain untuk mencari makan serta pembangunan membabitkan aktiviti pembersihan.

"Dalam tempoh seminggu, APM Kuantan berjaya menangkap 14 ekor ular pelbagai spesis seperti ular sawa, ular tedung selar dan ular senduk yang berada dalam rumah termasuk kawasan kediaman.

"Kes terbaharu kelmarin apabila kita memindahkan seekor ular sawa batik seberat 100 kilogram sepanjang enam meter di Taman Perlindung Perdana, di sini selepas menerima aduan penduduk.

"Penduduk mendakwa mereka melihat reptilia berkenaan cuba melintas jalan selepas kawasan terbabit dinaiki air, mereka segera bertindak menangkap ular terbabit sebelum diserahkan kepada APM," katanya, ditemui di sini semalam.

Beliau berkata, ular sawa batik yang terbesar pernah ditangkap mereka itu kini disimpan sementara di Pusat Kawalan Operasi APM Kuantan sebelum dilepaskan ke habitatnya.

Zubaidah menambah, sepanjang tahun lalu pihaknya berjaya menangkap sebanyak 1,553 ekor pelbagai spesies ular di daerah ini, September mencatat jumlah tertinggi tangkapan sebanyak 159 diikuti Oktober (146) serta masing-masing sebanyak 143 pada Ogos dan November.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 10:43 AM