Anggota APM memegang anak buaya tembaga yang ditangkap selepas memasuki pekarangan rumah penduduk. FOTO Farizul Hafiz Awang
Anggota APM memegang anak buaya tembaga yang ditangkap selepas memasuki pekarangan rumah penduduk. FOTO Farizul Hafiz Awang
Shahrinnahar Latib

ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap anak buaya tembaga dipercayai tersesat dan memasuki kawasan kediaman penduduk di Kampung Peramu di Kuantan, hari ini.

Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata kehadiran reptilia sepanjang satu meter disedari penduduk kampung kira-kira 1 pagi apabila ia dilihat di pekarangan sebuah rumah penduduk.

“Kami menerima panggilan kecemasan mengenai reptilia berkenaan pada pada 1.04 pagi, sebelum sepasukan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota APM menemui buaya sepanjang kira-kira satu meter dan berat dianggarkan 10 kilogram berhampiran rumah penduduk,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, buaya itu berjaya ditangkap tidak lama kemudian sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Kuantan.

“Kita sudah menyerahkan buaya berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zainal turut meminta orang ramai menghubungi pihak berkuasa dengan segera jika ternampak haiwan liar, termasuk buaya di kawasan rumah mereka.

“Ini kerana haiwan liar seperti ular dan buaya ini boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam.

“Orang ramai juga diharap tidak mengambil tindakan sendiri hingga boleh mendatangkan mudarat atau kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 9:27 PM