RUMAH Hantu The Sacred Riana bakal menjadi tarikan terbaru di MAPS, Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
RUMAH Hantu The Sacred Riana bakal menjadi tarikan terbaru di MAPS, Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
Balqis Jazimah Zahari


RUMAH Hantu The Sacred Riana yang menjadi tarikan terbaharu di taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh, dijangka bakal menghantui dan menguji adrenalin pengunjung.

Permainan rumah hantu diinspirasikan daripada pemenang Asia Got Talent itu adalah yang kedua diwujudkan di dunia selepas yang pertama dibuka di Indonesia.

Ketua Pegawai Operasi MAPS, Mohd Farid Abdul Aziz, berkata rumah hantu itu yang ditempatkan di taman tema berkenaan secara kekal diwujudkan dengan kerjasama Trilogy Magic Factory, Indonesia.

“Rumah Hantu The Sacred Riana ini memiliki enam jenis hantu yang menjanjikan satu kelainan dan bakal membuatkan pengunjung teruja sehingga boleh kecut perut.

“Kami memilih Sacred Riana berikutan aura pemenang Asia Got Talent itu yang dijangka dapat memberi impak berkesan dan penghibur silap mata itu datang sekurang-kurangnya empat kali setahun ke MAPS untuk membuat persembahan dan bertemu dengan pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas previu media ke rumah hantu berkenaan, hari ini.

Mohd Farid berkata, selepas perjumpaan kali pertama bersama Sacred Riana (sebelum ini), pihaknya kemudian berbincang dengan Trilogy Magic Factory untuk menjalankan hubungan kekal dan berpanjangan di MAPS.

Beliau berkata, harga tiket masuk ke rumah hantu ialah RM15 seorang yang dianggap berpatutan dengan harga tiket masuk ke MAPS sudah diturunkan.

Katanya, rumah hantu The Sacred Riana sedia ada akan diperbesarkan dan dilengkapkan dengan pelbagai lagi tarikan pada suku pertama atau suku kedua tahun hadapan.

Sementara itu, pengasas Trilogy Magic Factory, Oge Arthemus, berkata keistimewaan rumah hantu itu adalah menggunakan semua konsep cerita dari The Sacred Riana iaitu bermula pada watak hantu dan segala yang berada di dalam premis berkenaan adalah berkaitan dengan pemenang Asia Got Talent itu.

Beliau berkata, setakat ini maklum balas daripada pengunjung mendapati ada yang mengakui cukup ketakutan, ada yang menangis dan terkencing di seluar.

Katanya, selain itu, yang keluar merangkak dari rumah itu secara merangkak dan mereka mengakui terhibur, tetapi takut untuk mencuba lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 10:29 PM