ANDREW bersama David Foster dalam Asia’s Got Talent musim kedua.
ANDREW bersama David Foster dalam Asia’s Got Talent musim kedua.
Georgie Joseph

Program realiti terhangat rantau ini, Asia’s Got Talent (AGT) kembali lagi untuk musim ketiga. Seperti dua musim terdahulu, program ini dinanti ramai.

Bukan sahaja penonton tetapi bakat seluruh Asia juga tidak sabar beraksi dalam musim terbaru itu.

Berita baik buat rakyat Malaysia, sesi uji bakat bakal dijalankan pada 8 Julai ini di Taylor’s University, Kuala Lumpur, bermula jam 10 pagi.

Bagi yang terlepas uji bakat musim lalu, inilah masanya untuk mencuba nasib.

Seperti penganjuran terdahulu, juara AGT bakal membawa pulang wang tunai RM404,000. Selain itu, pemenang dan peserta bertuah bakal diberikan peluang menonjolkan bakat mereka di seluruh dunia.

Pada musim kedua lalu, peserta dari Indonesia iaitu The Sacred Riana berjaya meraih kepercayaan penonton apabila diundi sebagai juara.

Perjalanannya tidak terhenti begitu saja apabila Riana diberikan peluang menunjukkan bakatnya di America’s Got Talent musim baru. Persembahannya berjaya memukau barisan juri iaitu Simon Cowell, Heidi Klum, Mel B dan Howie Mandel.

Tidak ketinggalan, peserta separuh akhir musim lalu Andrew Lee turut mendapat peluang sama apabila beraksi di Britain’s Got Talent. Andrew yang berasal dari Malaysia berjaya membuatkan juri termasuk Simon Cowell kagum dengan bakatnya.

Naib Presiden Penerbitan Sony Pictures Television Networks Asia Derek Wong berkata, peluang keemasan itu patut dijadikan inspirasi ramai.

“Bakat yang layak ke peringkat separuh akhir musim lalu, Andrew berpeluang beraksi di hadapan Simon Cowell dalam musim baru Britain’s Got Talent dan menjadi terkenal di pentas dunia.

“Kami berharap perjalanan Andrew akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai warga Malaysia untuk merealisasikan impian mereka dalam musim baru Asia’s Got Talent,” katanya.

Disebabkan sambutan luar biasa, orang ramai yang berminat menyertai uji bakat ini digalakkan untuk mengisi borang permohonan dalam talian menerusi laman sesawang www.AXN-Asia.com/AsiasGotTalent.

Ia bagi melancarkan proses pendaftaran pada hari itu. Jika mereka berjaya pada sesi uji bakat terbuka itu, peluang membuat persembahan di hadapan juri pastinya cerah.

Selain Kuala Lumpur, uji bakat turut diadakan di Bangkok, Thailand, Singapura, Manila, Filipina, Ho Chi Minh, Vietnam dan Jakarta, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 2:05 AM