Suhaila Shahrul Annuar

SEORANG pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) bergelar Datuk direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM400,000.

Perintah reman bermula semalam hingga Sabtu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim terhadap lelaki berusia 48 tahun itu di Mahkamah Majistret Putrajaya, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek didakwa menerima rasuah dalam bentuk pengubahsuaian rumah dianggarkan berjumlah RM400,000 sebagai balasan selepas memberikan projek kerja penjenamaan semula pejabat cawangan TH kepada sebuah syarikat yang membabitkan kos RM15 juta.

Suspek sebelum itu ditahan SPRM pada jam 8.35 malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009.

Ahad lalu, SPRM turut menahan seorang pegawai kanan wanita TH bergelar Datin berusia 49 tahun dan mendapat perintah reman selama lima hari mulai 17 Disember hingga esok.

Turut ditahan Isnin lalu, seorang pengurus projek berusia 34 tahun bagi membantu siasatan kes sama dan direman selama tiga hari mulai kelmarin.

Pada 30 November lalu, TH membuat laporan polis berhubung kes salah guna kuasa membabitkan bekas pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan institusi berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan berhubung kes berkenaan.

TH membuat dua laporan polis membabitkan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Selain itu, TH turut menamakan beberapa pengurusan kanan lain, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani (Ketua Pegawai Operasi), Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 1:39 PM
Seorang pengurusan kanan tertinggi TH keluar dari kamar mahkamah selepas dibenarkan direman. FOTO Abd Rahim Rahmat
Seorang pengurusan kanan tertinggi TH keluar dari kamar mahkamah selepas dibenarkan direman. FOTO Abd Rahim Rahmat