Bangunan Tabung Haji di jalan Tun Razak. FOTO Mahzir Mat Isa
Bangunan Tabung Haji di jalan Tun Razak. FOTO Mahzir Mat Isa
Fazrik Kamarudin


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di Menara Tabung Haji (TH), Jalan Tun Razak dipercayai berhubung dakwaan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa, hari ini.

Difahamkan, pegawai daripada SPRM itu hadir untuk membuat pemeriksaan selain dipercayai turut mengadakan pertemuan dengan beberapa orang pegawai kanan pengurusan TH.

Bagaimanapun, tiada kelibat dan pergerakan daripada pegawai SPRM yang dapat dikesan walaupun kira-kira 15 orang petugas media sudah menunggu di hadapan laluan masuk utama ke Menara TH sejak dari 8 pagi hingga 4 petang tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan kehadiran pegawainya di Menara TH, namun enggan untuk mengulas lanjut.

Semalam, Harian Metro melaporkan SPRM melakukan serbuan ke atas rumah dan pejabat Ahli Parlimen Baling yang juga Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada malam kelmarin.

Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi semalam mengesahkan serbuan berkenaan.

Azam kemudian dilaporkan berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan ke atas TH esok (hari ini).

Pemeriksaan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan susulan serbuan ke atas kediaman Azeez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 4:53 PM