Fahmy Azril Rosli


TUN Dr Mahatir Mohamad berkata, beliau bukan ‘sekolahkan’ dua menteri seperti diperkatakan oleh Datuk A Kadir Jasin seperti tersiar dalam blog Penasihat Media Khas Perdana Menteri itu.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya beliau cuma bercakap biasa dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.

“Saya cuma cakap dengan mereka. Tiada kuliah (sekolah) cuma cakap sahaja,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis makan malam anjuran Persatuan Perubatan Malaysai (MMA) di Kuala Lumpur, malam semalam.

Semalam, Kadir tampil menyuarakan isi hati menggunakan kapasiti peribadi di blognya.

Teguran berbaur sindiran itu ditujukan kepada Waytha Moorthy dan Maszlee yang masing-masing terpalit dengan pelbagai kecaman dalam kalangan masyarakat, mutakhir ini.

Menurut Kadir, Maszlee menerima ‘syarahan’ oleh Perdana Menteri kerana sepatutnya berhenti menukar imej sekolah kebangsaan menjadi sekolah agama, sehingga mengundang kegusaran dalam kalangan ibu bapa.

Waytha Moorthy pula katanya, tindak tanduk menteri lantikan senator itu dalam insiden keganasan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional, selaras portfolio beliau dalam Kabinet.

Ditanya adakah Perdana Menteri berpuas hati dengan prestasi kedua-dua menteri itu, setakat ini, Dr Mahathir berkata, “Ya.”

Menurut Dr Mahathir, selepas kedua-dua individu itu dilantik menyertai Kabinet, mereka sedang melakukan yang terbaik untuk kementerian masing-masing.

“Ya...ya (puas hati). Mereka sedang lakukan yang terbaik,” katanya ringkas.

Berita berkaitan

Teguran sinis untuk dua menteri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 12:18 AM