ANGGOTA DBKL menyita kerusi dan meja di kedai makan di Jalan Danau Niaga 1 dan Jalan Usahawan, Kuala Lumpur dalam Op Tegas, semalam. FOTO NSTP
ANGGOTA DBKL menyita kerusi dan meja di kedai makan di Jalan Danau Niaga 1 dan Jalan Usahawan, Kuala Lumpur dalam Op Tegas, semalam. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


RAYUAN peniaga untuk menjalankan operasi menggunakan lot parkir kenderaan berhampiran premis masing-masing tidak diendahkan apabila barangan mereka disita dalam Operasi Tegas (Op Tegas) di sekitar Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam operasi dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula 8 malam itu, barangan jualan diletakkan di lot parkir kenderaan di lima restoran di Jalan Rimbunan, Jalan Rimpunan Raya 1, Jalan Rimbunan Raya, Jalan Metro Perdana 3, disita.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di Jalan Rimbunan, Jalan Rimbunan Raya 1, Jalan Metro Perdana 3 dan Jalan Jejaka, di sini, dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di kawasan terbabit mendapati, lima restoran berkenaan meletakkan kerusi dan meja di lot parkir berhampiran premis masing-masing. Malah, kelima-lima restoran terbabit didapati menyewa kawasan premis mereka kepada penjaja gerai makanan tanpa kebenaran pihak DBKL.

“Kami mengeluarkan notis bagi dua kesalahan dilakukan pemilik restoran terbabit iaitu menghalang laluan dan menyewa premis bagi penjaja kedai makanan tanpa kebenaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya menerima aduan dibuat Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang mahu menghentikan budaya kedai makanan serta restoran yang menggunakan lot parkir untuk meletakkan kerusi serta meja.

“Difahamkan ada pemilik restoran yang merayu untuk menjalankan perniagaan menggunakan lot parkir di depan premis mereka untuk meletakkan kerusi dan meja dalam tempoh masa tertentu.

“Bagaimanapun, tindakan itu adalah satu kesalahan kerana mengakibatkan kesusahan kepada individu lain yang mahu menggunakan kemudahan parkir disediakan selain menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan,” katanya.

Katanya, semua barang yang disita termasuk kerusi dan meja di lima restoran terbabit dibawa ke stor sitaan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 2:09 PM