PENGUATKUASA DBKL menyita kerusi dan meja sebuah premis yang diletakkan di lot parkir di Jalan Sultan Azlan Shah, semalam. FOTO Ihsan pembaca.
PENGUATKUASA DBKL menyita kerusi dan meja sebuah premis yang diletakkan di lot parkir di Jalan Sultan Azlan Shah, semalam. FOTO Ihsan pembaca.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita kerusi dan meja sebuah premis yang diletakkan di lot parkir di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini semalam.

Sitaan dilakukan susulan video tular menunjukkan seorang lelaki warga asing bersama warga tempatan berselisih faham berhubung perkara itu.

Pengarah Penguatkuasa DBKL, Osman Ismail berkata, tindakan segera diambil selepas siasatan aduan di lokasi berkenaan mengenai halangan kerusi dan meja di lot parkir.

"Hasil semakan di premis terbabit mendapati terdapat kerusi dan meja di lot petak parkir di hadapan premis berkenaan tanpa kebenaran.

"Pasukan penguatkuasa mengambil tindakan dengan menyita kerusi dan meja milik premis berkenaan, "katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974.

"Berhubung lesen premis terbabit, pemeriksaan mendapati ia dimiliki sebuah syarikat yang berdaftar.

"Kita juga akan menyemak lesen berkenaan dengan Jabatan Pelesenan DBKL untuk tindakan lanjut, "katanya.

Terdahulu, seorang lelaki memuat naik dua video pendek di Youtube memaparkan seorang warga asing dipercayai pemilik premis memarahi lelaki terbabit kerana meletakkan kenderaan di lot parkir itu.

Berlaku pertelagahan apabila lelaki itu mendakwa ia adalah parkir awam sebelum warga asing itu bertindak membaling kerusi ke keretanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 11:39 AM