Mohd Shuhaily pada sidang media persediaan polis dalam menghadapi PRN. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mohd Shuhaily pada sidang media persediaan polis dalam menghadapi PRN. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan disyaki terbabit kejadian melarikan diri daripada pemeriksaan memaksa Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terpaksa melepaskan sembilan das tembakan di Laman Rimbunan, Jalan Kepong, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki tempatan berusia 40 tahun itu juga tersenarai dalam senarai individu dikehendaki ditahan di sekitar Kajang, Selangor, kelmarin.

"Suspek berada dalam pemerhatian kami kerana disyaki terbabit banyak kes pecah rumah.

"Setakat ini siasatan kami mendapati kedua-dua suspek terbabit tiada pembabitan dengan kumpulan kongsi gelap," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki bernama O Ganesan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Bagaimanapun lelaki berkenaan hanya dianggap sebagai individu yang boleh membantu siasatan dan bukannya sebagai suspek.

Dalam kejadian pada 7 Ogos itu, dalam usaha mempertahankan diri, tiga anggota URB melepaskan sembilan das tembakan ke arah sebuah Proton Wira dinaiki dua suspek yang enggan berhenti diperiksa di Laman Rimbunan, Jalan Kepong.

Anggota polis terbabit mengejar kenderaan dipandu suspek bermula dari Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong di sini, yang sesak menyebabkan suspek mengundurkan kereta dan melanggar salah seorang anggota URB.

Kejadian itu tular selepas satu video berdurasi 13 saat memaparkan tiga anggota polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di jalan yang sesak dimuat naik di media sosial.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sedang giat mengesan seorang lagi suspek terbabit dan siasatan dianggarkan sudah 60 peratus selesai.

Katanya, suspek yang ditahan berkenaan direman lima hari bermula semalam hingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 5:32 PM