ANGGOTA penguat kuasa DBKL mengangkat barangan yang disita dalam operasi pada Rabu. FOTO FB DBKL.
ANGGOTA penguat kuasa DBKL mengangkat barangan yang disita dalam operasi pada Rabu. FOTO FB DBKL.
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap 12 premis perniagaan yang meletakkan barangan di tempat awam di sekitar Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini.

DBKL dalam kenyataan berkata, operasi pada Rabu itu memeriksa restoran, kedai runcit, pasar mini, kedai tekstil, gunting rambut, gerai makanan dan lain-lain aktiviti perniagaan..

"Dalam operasi itu, 10 notis kompaun dikeluarkan mengikut kesalahan Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 serta enam notis kompaun Peletakan Tred Perniagaan Di tempat Awam Tanpa Kebenaran dan UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

"Empat notis kompaun turut dikeluarkan atas pelanggaran menjalankan Aktiviti Perniagaan Tanpa Lesen," katanya.

Menurutnya, tindakan penyitaan membabitkan premis perniagaan yang menggunakan laluan awam termasuk di siar kaki dan kaki lima.

"Sebanyak 91 peralatan dan barangan perniagaan seperti kerusi, meja, gerak beroda, payung, meja lipat, bakul, rak besi, papan iklan dan lain-lain yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL," katanya.

Pihak berkuasa memaklumkan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga patuh arahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 8:29 AM