MOTOSIKAL curi yang ditemui semula selepas  pihak polis menahan seorang lelaki di Seri Iskandar, Perak. FOTO Ihsan PDRM
MOTOSIKAL curi yang ditemui semula selepas pihak polis menahan seorang lelaki di Seri Iskandar, Perak. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Mustakim Ramli


TINDAKAN lelaki mencuri motosikal rakan serumahnya di Lunas, Kulim, sebelum melarikan kenderaan itu hampir 200 kilometer, gagal selepas dia ditahan polis di Seri Iskandar, Perak, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian disedari mangsa berusia 32 tahun pada 10 pagi kelmarin, selepas motosikal jenis Modenas milik abangnya hilang.

“Lelaki berkenaan meletakkan motosikal itu dalam keadaan berkunci pada 7.30 pagi sebelum sedar ia hilang kira-kira 10 pagi.

“Mangsa cuba mencari motosikal itu di kawasan sekitar sebelum mengesyaki rakan serumahnya mencurinya selepas suspek keluar bersama semua pakaiannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek berusia 43 tahun kemudian ditahan pada 1.30 tengahari di Seri Iskandar, Perak, ketika sedang menunggang motosikal berkenaan.

“Suspek ditahan di tepi jalan dan motosikal yang dicuri suspek turut dirampas.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mencuri motosikal itu dan semakan turut mendapati dia mempunyai rekod lampau membabitkan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana jenayah mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 1:24 PM