Wan Azizah dan Yeoh   (kanan) beramah mesra bersama pegawai  Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak Kanak (D11)  ketika lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,  semalam.
Wan Azizah dan Yeoh (kanan) beramah mesra bersama pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak Kanak (D11) ketika lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.
Rohaniza Idris dan Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Infografik mengenai kriteria dan panduan memilih pengasuh bayi dan kanak-kanak akan dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, panduan itu turut menyediakan maklumat mengenai tanda dan amaran awal yang perlu diambil kira sebelum ibu bapa menghantar anak mereka kepada pengasuh.

Katanya, panduan itu juga mengambil kira kriteria pusat asuhan kanak-kanak yang berdaftar selain pengasuh persendirian yang beroperasi di rumah.

“Infografik ini bagi memberi kesedaran kepada umum dan ibu bapa mengenai tanda yang menunjukkan anak mereka sesuai atau tidak dengan pengasuh atau adanya tanda kecederaan seperti lebam dan tanda menolak untuk tidak dihantar ke pengasuh,” katanya kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Beliau mengulas cadangan semua pengasuh persendirian termasuk yang beroperasi di rumah diwajibkan berdaftar sebagai langkah pencegahan supaya tidak berlaku kes kematian kanak-kanak di rumah pengasuh dan pusat asuhan kanak-kanak.

Baru-baru ini dilaporkan bayi perempuan berusia 11 bulan dari Bandar Baru Bangi, Kajang Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau lebih mesra dipanggil Zara menjadi mangsa dera pengasuhnya.

Bayi itu disahkan meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang, Rabu lalu.

Lawatan kerja yang pertama ke Bukit Aman itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Rombongan Dr Wan Azizah disambut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat menasihatkan ibu bapa supaya menghantar anak ke pusat asuhan berdaftar dengan kementeriannya.

Katanya, ibu bapa yang menghantar anak kepada pengasuh persendirian atau beroperasi di rumah dinasihatkan jangan mudah percaya sepenuhnya kepada pengasuh yang mereka upah.

“Ibu bapa perlu mengambil langkah proaktif menjaga anak masing-masing dan memastikan keselamatan anak yang dihantar kepada pengasuh dengan melihat tanda yang mendedahkan anak kepada bahaya. Jangan hanya mengharapkan kerajaan saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:53 AM