Zuliaty Zulkiffli


“Sampai sekarang anak saya tidak mahu sesiapa mendekatinya, walaupun ahli keluarga sendiri kerana trauma dengan kejadian yang berlaku,” kata ibu kepada bayi perempuan berusia 10 bulan yang lebam di kedua belah pipinya dipercayai akibat didera pengasuh, kelmarin.

Ibunya, 31, berkata, anak bongsunya itu sudah menjalani pemeriksaan x-ray di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pagi tadi, bagi mengetahui keadaannya yang sebenar.

Katanya, akibat kejadian itu juga, anaknya kurang selera minum susu dan tidak ceria seperti dahulu dan menjadi lebih takut jika berjumpa orang tidak dikenalinya.

"Saya syak anak dicubit dengan kuat sehingga meninggalkan bekas hitam pada kedua belah pipinya, namun saya serahkan siasatan kepada polis.

"Saya juga terkejut apabila dimaklumkan pengasuh ditahan polis," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ka Yee berkata, dia mengenali pengasuh itu melalui aplikasi WeChat selepas wanita itu menawarkan perkhidmatan mengasuh bayi di rumahnya di Jalan Kilang Tebu, Alor Setar.

Katanya, kebetulan pada masa sama dia memerlukan pengasuh untuk menjaga anaknya itu disebabkan dia baru hendak memulakan perniagaannya di Mergong dan terus berjumpa dengan wanita berkenaan.

"Saya dapati rumahnya dalam keadaan bersih dan kemas malah dia juga seorang yang sangat baik ketika saya mengunjungi rumahnya. Ketika itu saya langsung tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah kejadian ini berlaku pada hari pertama anak saya dihantar ke situ.

"Malam tadi selepas berita mengenai anak saya disiarkan dalam Harian Metro, ada seorang wanita menghubungi saya memaklumkan dia juga pernah menghantar anaknya kepada pengasuh itu selama sembilan hari dan anaknya juga mengalami kecederaan akibat kejadian yang hampir sama kira-kira dua bulan lalu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Halimatun Shaadiah Saad berkata, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuh persendirian.

"Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya tidak mudah menghantar anak mereka di bawah jagaan pengasuh rumah persendirian yang tidak dikenali sebaliknya menghantar mereka ke pusat asuhan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Terdahulu, Halimatun Shaadiah turut melawat bayi perempuan itu wad kanak-kanak di HSB yang turut ditemani Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.

NSTP semalam melaporkan, seorang bayi perempuan berusia 10 bulan dimasukkan ke HSB selepas lebam di pipi kiri dan kanan dipercayai didera ketika berada di rumah pengasuhnya di Jalan Kuala Kedah, Sabtu lalu.

Berita berkaitan:

'Betui ka nyamuk gigit ni?'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 7:18 PM