Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SETIAP tahun pasti ada kes kematian membabitkan bayi atau kanak-kanak ketikadi bawah jagaan pengasuh.

Antaranya akibat tersedak susu, tercekik makanan, terlilit tali buaian dan bayi terlepas dari pegangan.

Siasatan turut mendapati memang ada kesilapan di pihak pengasuh kerana sesetengah daripada mereka tidak memiliki kemahiran dari aspek penjagaan bayi dan kanak-kanak sehingga mereka menjadi sasaran kecaman.

Wartawan NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN dan juruvideo MUSTAFA KAMAL mendapatkan pandangan Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia Anisa Ahmad bagi mengulas dengan lebih lanjut mengenai isu ini.

Apakah kriteria utama yang diperlukan untuk menjadi pengasuh?

Bagi individu yang ingin terbabit dalam pengasuhan kanak-kanak memang diwajibkan lulus sijil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kursus ini ditawarkan khusus untuk pengasuh, pendidik, penyelia, pengurus dan pengusaha.

Terdapat dua kaedah kursus ini dijalankan iaitu sepenuh masa selama 26 hari dan lima hari latihan amali manakala secara separuh masa membabitkan tempoh tiga bulan. Pengasuh juga perlu mempunyai sijil pemakanan dan mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid).

Kriteria lain pula, individu itu disyaratkan perlu mempunyai pengalaman mengasuh sama ada anak sendiri, anak saudara atau anak orang lain. Namun, perkara paling penting sebelum menjadi pengasuh ialah mempunyai sifat keibuan yang tinggi serta menyayangi kanak-kanak. Kriteria tambahan, tetapi tidak wajib adalah memiliki sijil, diploma atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Tahap profesionalisme dalam kalangan pengasuh tempatan dilihat jauh berbeza jika dibandingkan dengan negara Barat. Komen?

Saya akui memang wujud perbezaan. Pengasuh di Malaysia perlu meningkatkan tahap profesionalisme terutama dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak supaya mereka boleh setaraf dengan negara Barat. Antara caranya adalah dengan melantik pakar akademik atau mereka yang berpengalaman luas dalam bidang ini memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk menghasilkan sistem Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang berkesan.

Di Finland, misalnya, Pendidikan Awal Kanak-Kanak di negara itu diterajui pakar yang bukan sahaja memiliki kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), malah berpengalaman luas dalam bidang pengasuhan.

Berbeza di Malaysia, mereka yang berpengalaman luas dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak tidak ‘diangkat’ sebagai pakar kerana tiada kelulusan akademik yang tinggi.

Adakah hukuman lebih berat patut dikenakan terhadap pengasuh yang cuai?

Hukuman seharusnya mengikut tahap profesionalisme seseorang. Sebagai contoh, jika kecuaian itu dilakukan mereka yang pakar dalam bidang itu, maka wajarlah hukuman berat itu dikenakan.

Tetapi, sebaliknya jika kesalahan itu dilakukan pengasuh yang hanya memiliki Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) dengan gaji sekitar RM1,200 sebulan, maka tidak patut hukuman berat dikenakan.

Terus terang, saya selalu berasa simpati terhadap pengusaha dan pengasuh kanak-kanak itu apabila mereka berhadapan dengan masalah yang dikaitkan dengan kecuaian. Tambahan pula, ada pengasuh itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah dan terpaksa mengasuh di rumah untuk menampung keluarga.

Tetapi, kami sebagai persatuan ada menyediakan latihan dan mengajar mereka Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) dengan memberikan pendedahan serta ilmu pengasuhan.

Setiap kali timbul isu pengasuh cuai, apakah tindakan persatuan?

Persatuan tidak mengambil tindakan hanya selepas timbul sesuatu isu. Sebaliknya, kami sentiasa menekankan profesionalisme pengasuh dengan mengadakan kursus jangka pendek dan panjang.

Sebagai contoh, KAP diadakan sekurang-kurangnya sekali setiap tiga hingga empat tahun. Kami turut memastikan semua cawangan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) di seluruh negeri mengadakan kursus ini. PPBM juga mengadakan beberapa kursus penting yang lain seperti pertolongan cemas, pemakanan dan prosedur operasi standard (SOP).

Saya berpendapat tiada pengasuh yang sengaja cuai kerana ia berkaitan risiko keselamatan kanak-kanak selain mengetahui apa yang bakal dihadapi akibat kecuaian sendiri.

Trend masa kini ibu bapa mencari pengasuh anak secara atas talian. Adakah ini cara yang betul?

Saya ingin menasihatkan ibu bapa supaya jangan menggunakan media sosial untuk mencari pengasuh. Sebaik-baiknya pergi sendiri ke rumah pengasuh atau taska untuk lebih mengenali pengasuh dan melihat cara asuhan mereka.Elak daripada bertemu pengusaha taska kerana mereka menyerahkan tanggungjawab itu kepada pengasuh.

Semasa berjumpa pengasuh, digalakkan bertanya banyak soalan untuk menguji pengetahuan dan mengetahui pengalaman mereka. Sekiranya jawapan diberikan meyakinkan, barulah hantar anak ke taska atau pengasuh berkenaan.

Dua bulan sebelum bersalin dianggap masa yang sesuai untuk mencari pengasuh dan elakkan juga mencari pengasuh di saat akhir.

Tahun lalu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan infografik senarai semak pengasuh di rumah. Adakah ia berkesan?

Ia memang berkesan dan saya pernah mencubanya untuk melihat nama mereka yang disenaraihitamkan.

Bagaimanapun, ia perlu ditambah baik kerana masih ada maklumat tidak lengkap dalam infografik ini. Ini kerana ada pengasuh disenarai hitam, tetapi disebabkan tiada laporan polis, maka mereka tidak ada dalam senarai itu.

Antara punca pengusaha disenarai hitam adalah apabila mereka sepatutnya menjaga kanak-kanak, tetapi tidak melakukannya.

Bagaimanapun, infografik ini boleh dijadikan panduan bagi ibu bapa yang ingin mengetahui maklumat mengenai seseorang pengasuh itu sebelum dan selepas anak mereka dihantar untuk dijaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:43 AM