Oleh Suliati Asri dan Nurul Husna Mahmod dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Angka perbandingan menakutkan apabila lebih seorang bayi atau kanak-kanak menjadi mangsa dera penjaga pusat taska dan pengasuh hampir setiap hari sejak lebih lima tahun lalu.

Dapatan itu berdasarkan sejumlah 3,666 mangsa direkodkan didera di seluruh negara sepanjang tempoh 2018 hingga Jun 2023 atau bersamaan 2007 hari.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasar rekod diperolehi Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 3,233 kes dera dilaporkan di seluruh negara membabitkan 3,666 mangsa.

"Daripada jumlah kes dan mangsa itu, seramai 3,264 suspek dikenal pasti dengan 964 suspek membabitkan pengasuh, pembantu rumah, pengasuh taska, penjaga dan suami pengasuh.

"Angka rekod ini termasuk suspek penjaga rumah anak yatim dan guru mangsa.

"Sikap tidak bertanggungjawab individu terutama pihak yang membuka pusat asuhan semata-mata untuk mendapatkan pulangan kewangan antara punca mendorong berlakunya kes dera," katanya.

Menurutnya, sikap tamak pusat asuhan yang menggaji pengasuh tidak terlatih dan tidak mempunyai ilmu penjagaan kanak-kanak juga mendorong kepada kes penderaan.

"Apabila pengasuh yang digaji tidak mempunyai ilmu, ia akan membawa kepada perasaan tidak sabar dengan karenah kanak-kanak.

"Tiada minat dan ilmu dalam mendidik dan mengawal kanak-kanak menyebabkan tindakan di luar kawalan yang mengancam nyawa bayi atau kanak-kanak di bawah jagaan pengasuh.

"Situasi ini boleh membawa kepada kemalangan seperti bayi tertangkup kain bedong atau napkin ketika tidur, tersedak susu dan tercekik makanan," katanya.

Beliau berkata, dari segi pengasuh, ada di antara mereka dikenali melalui jiran atau kenalan selain menerusi media sosial, manakala bagi guru pula membabitkan pelbagai peringkat dari taska, tadika, tuisyen, sekolah rendah, sekolah menengah hingga ke warden tahfiz.

Menurutnya, individu yang terbabit dengan kes penderaan kanak-kanak atau bayi boleh diambil tindakan berdasarkan kesalahan dilakukan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

"Antara Seksyen yang digunakan dalam akta berkenaan adalah Seksyen 31(1) serta Seksyen 33 membabitkan pelbagai kesalahan termasuk pengabaian, penganiayaan dan penderaan.

"Selain itu, pelaku (suspek) kes dera juga boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika membabitkan kematian (mangsa meninggal dunia)," katanya.

Justeru itu, pihaknya mahu isu keselamatan kanak-kanak ditangani semua pihak bukan sahaja ibu bapa tetapi juga penjaga, masyarakat serta kerajaan.

Katanya, kanak-kanak adalah golongan rentan yang perlu diuruskan dengan hemat dan cermat disebabkan faktor kematangan fikiran serta fizikal mereka tidak berupaya melindungi diri daripada ancaman membahayakan nyawa.

"Pihak pengasuh dan pusat jagaan kanak-kanak tidak hanya mementingkan keuntungan dan mencari jalan mudah dengan menawarkan perkhidmatan jagaan tanpa persediaan sewajarnya.

"Aspek pengetahuan, persiapan fasiliti selamat untuk kanak-kanak serta pengasuh dan pekerja amanah dengan kelayakan adalah perkara penting yang perlu diteliti.

"Pihak yang bertanggungjawab ini juga perlu sentiasa memantau pengoperasian pusat asuhan supaya mematuhi keperluan dan syarat ditetapkan selain mengkaji serta membuat penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Temubual bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) ACP, Siti Kamsiah Hassan.
Temubual bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) ACP, Siti Kamsiah Hassan.

Kanak-kanak jadi mangsa dera pengasuh taska tak terlatih

Kebanyakan kes penderaan terhadap bayi atau kanak-kanak membabitkan taska tidak berdaftar selain pengasuh tidak mendapat latihan sewajarnya.

Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata, kerajaan perlu lebih serius memantau pengusaha taska tidak berdaftar bagi mencegah kes penderaan membabitkan pengasuh.

"Melalui pengamatan saya, kebanyakan kes penderaan bayi atau kanak-kanak oleh pengasuh dilaporkan membabitkan pengasuh di taska tidak berdaftar atau taska yang tiada pemantauan pengusahanya.

"Pihak berwajib wajar mengambil perhatian lebih serius terhadap kewujudan taska tidak berdaftar tanpa mengira siapa pemiliknya.

"Begitu juga dengan taska yang pernah mempunyai 'track record' kes penderaan... perlu ada penguatkuasaan dan pemantauan rapi bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.

Anisa berkata, tidak hanya pihak berwajib, peranan utama perlu dimainkan ibu bapa supaya perlu lebih selektif dalam memastikan taska didiami memenuhi ciri selamat atau bebas daripada insiden penderaan pengasuh.

"Tugas mengasuh anak kecil bukan mudah dan memerlukan ketahanan diri termasuklah emosi.

"Penderaan boleh terjadi atas faktor tertentu dialami pengasuh seperti tekanan kerja, kehidupan atau apa sahaja yang mencetuskan sifat buruk itu.

"Ibu bapa boleh ambil langkah pencegahan dengan memastikan taska bakal dipilih mematuhi syarat ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuklah nisbah bilangan pengasuh dengan kanak.

"Contohnya bagi kanak-kanak di bawah usia setahun, nisbahnya pengasuh disyaratkan adalah seorang pengasuh bagi tiga kanak-kanak.

"Sementara itu bagi kanak-kanak berusia setahun ke atas hingga tiga tahun, seorang pengasuh disyaratkan menjaga maksimum lima kanak-kanak," katanya.

Tambah Anisa, pengasuh juga perlu mematuhi syarat kelayakan iaitu lulus Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata Negara membolehkan mereka layak mengasuh kanak-kanak.

"Pengasuh dilatih biasanya boleh menangani ragam kanak-kanak lebih terkawal dan profesional berbanding pengasuh yang tidak mengikuti sebarang latihan.

"Mereka sedar tanggungjawab dan kepentingan profesyen sebagai seorang pengasuh. Taska berdaftar biasanya sudah mendedahkan pengasuh mereka dengan kursus berkaitan bagi memastikan pekerja kompeten dan isu berkait penderaan di taska dapat dielak," katanya.

Banyak sorok daripada lapor

Jumlah sebenar kes penderaan kanak-kanak membabitkan taska atau pengasuh lebih tinggi berbanding statistik dikumpulkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berikutan banyak kes sengaja tidak dilaporkan.

Pegawai Sosial Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang, Asmar Hamariyah Ahmad Bakhari berkata, pihaknya mengandaikan lebih banyak kes penderaan kanak-kanak disorok keluarga mangsa berbanding dilaporkan.

"Rekod kes penderaan kanak-kanak yang kami tangani bagi tahun 2022 adalah sebanyak 114 kes berbanding 109 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

"Antara kes dilaporkan membabitkan penderaan oleh pengasuh. Berdasarkan pengamatan saya, kes penderaan ini kerap dilakukan individu yang menawarkan khidmat asuhan persendirian di rumah atau tidak berdaftar.

"Kami mengandaikan lebih banyak kes tidak dilaporkan kerana hubungan rapat sama ada pengasuh itu adalah ahli keluarga sendiri atau kenalan rapat.

"Selain dilema ibu bapa, faktor menempatkan anak mereka ke pusat taska mengikut kemampuan kewangan menyebabkan mereka tidak punya pilihan," katanya.

Asmar berkata, pihaknya berharap kerajaan memiliki mekanisme untuk membantu ibu bapa memiliki persekitaran selamat bagi membesarkan anak mereka.

"Masalah taska atau anak diasuh oleh individu atau perseorangan perlu juga dipantau. Pengasuh ini perlu mematuhi standard operasi dalam menawarkan khidmat sebagai pengasuh.

"Ibu bapa yang bekerja mengharapkan anak mereka berada dalam persekitaran selamat," katanya.

Dia turut menekankan peranan ibu bapa supaya selalu menyemak keadaan anak setiap hari, baik pemeriksaan fizikal dan emosi bagi mengesan jika berlaku sesuatu buruk kepada anak masing-masing.

"Andai ada gejala anak menunjukkan rasa tidak selesa, ketakutan, stres termasuklah menangis keterlaluan setiap kali dihantar ke taska, rujuklah kepada pakar untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengusaha Taska Alam Rimbaku Bandar Baru Bangi, Zunirrah Mohd Zamri berkata, peranan penting perlu dimainkan pengusaha taska bagi membendung isu penderaan kanak-kanak oleh pengasuh.

"Pengusaha 'tunggak' kepada perkhidmatan asuhan kanak-kanak dan mereka perlu memantau pengasuh bagi mencegah insiden penderaan berlaku.

"Taska berdaftar yang diwajibkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah antara usaha menangani isu terbabit.

"Teknologi dan elemen manusia (pengusaha) yang memantau setiap tindak tanduk pengasuh boleh membantu mengekang masalah terbabit.

"Perlu diingatkan, pengasuh juga adalah manusia dan mereka juga ada masalah sendiri iaitu keluarga, kawan-kawan dan stres. Kadangkala mereka hilang pertimbangan," katanya.

Pengalaman mengusahakan taska sejak 2016, menyebabkan Zunirrah tidak boleh ambil ringan terhadap tugas memantau dan juga menyerahkan tugas itu kepada penyelia.

"Saya perlu turun dan buat pemeriksaan tersendiri kerana jika sesuatu berlaku pada taska. Saya juga antara pihak bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 10:01 AM