MOHD Shafie (tengah) bersama penyokong selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah sah. FOTO Edmund Samunting
MOHD Shafie (tengah) bersama penyokong selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah sah. FOTO Edmund Samunting
Mohd Izham Unnip Abdullah; Avila Geraldine dan Olivia Miwil


DATUK Seri Mohd Shafie Apdal meminta semua pihak menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memutuskan beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pada masa sama, Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) bertekad meneruskan usaha membangunkan negeri berkenaan.

Beliau yang berada di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu mahu semua pihak tidak mempersoalkan keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie.

“Apa yang penting ialah bekerja dan membantu rakyat miskin serta membawa pembangunan ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokong selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak saman difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, hari ini.

Dalam ucapannya, Mohd Shafie turut meminta rakyat Sabah supaya bersatu padu dan berharap keputusan mahkamah itu juga membolehkan usaha kerajaan negeri memajukan negeri ini tidak berdepan sebarang masalah.

Terdahulu, Mohd Shafie disambut sorakan ratusan penyokongnya yang menunggu di pekarangan kompleks mahkamah sejak tengah hari tadi, sejurus keputusan diketahui.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Wira WARISAN Datuk Mohd Azis Jamman menyifatkan keputusan mahkamah amat bermakna buat rakyat Sabah.

“Keputusan ini amat bermakna demi meneruskan agenda pembangunan dan menjaga kebajikan seluruh warga Sabah. Terima kasih atas sokongan padu yang diberikan kepada Ketua Menteri kita yang sah hari ini,” katanya dipetik melalui laman Facebook beliau.

Berita berkaitan

Shafie Apdal kekal KM Sabah [METROTV]

Keputusan siapa KM Sabah, petang ini...

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 6:27 PM