MOHD Shafie diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi proses lanjutan tahanan reman.
MOHD Shafie diiringi pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi proses lanjutan tahanan reman.
HM Digital

Kota Kinabalu: Tahanan reman terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disambung empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) membabitkan nilai RM1.5 bilion.

Majistret Cindy McJuce Balitus membuat keputusan itu selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum ini, SPRM menahan reman Mohd Shafie, 60, yang juga bekas Menteri KKLW sejak Jumaat lalu.

Terdahulu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi, di sini, Mohd Shafie menerusi barisan peguamnya gagal dalam permohonan untuk semakan semula perintah remannya sebelum ini.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Ismail Brahim.

Difahamkan, kira-kira 300 penyokong WARISAN berhimpun untuk memberi sokongan kepada Mohd Shafie di luar pekarangan mahkamah, di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu Datuk Mohd Yusof Apdal dibebaskan daripada tahanan reman berhubung siasatan kes penyelewengan dana KKLW berkenaan, semalam.

Cindy ketika membuat keputusan itu turut memerintahkan Mohd Yusof diikat jamin RM100,000 dengan deposit RM50,000.

Sebelum ini, Mohd Yusof ditahan reman oleh SPRM sejak 18 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Setakat ini, SPRM menahan reman 13 individu berkaitan kes berkenaan, masing-masing 10 orang di Sabah dan tiga lagi di Putrajaya.

Di Sabah, selain Mohd Yusof dan Mohd Shafie, individu lain yang ditahan reman ialah Hamid Apdal, 53, yang juga seorang ahli perniagaan serta menantu Hamid iaitu Manzur Hussien Awal Khan, 33.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 5:44 AM