MOHD Nor Marzukee (lima dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Wazir pada Majlis Pelancaran Program Satu Masjid Satu Polis di Masjid Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong, Nilai, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
MOHD Nor Marzukee (lima dari kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada Wazir pada Majlis Pelancaran Program Satu Masjid Satu Polis di Masjid Dato Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong, Nilai, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SERAMAI 26 anggota polis akan menyelia tahap keselamatan di 26 masjid di Nilai bagi membendung jenayah terutama membabitkan kes pecah tabung derma di rumah ibadat itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata beliau akan mengetuai Program Satu Masjid Satu Polis (SMSP) dengan memberi penerangan berkaitan aspek pencegahan jenayah sebelum solat jemaah dijalankan.

Beliau berkata, anggota bertugas perlu melakukan lawatan berkala ketika solat lima waktu dan solat Jumaat bagi mendapatkan reaksi kariah berhubung tahap keselamatan di masjid.

“Inisiatif ini dijalankan susulan beberapa kes pecah tabung dan kereta milik kariah di masjid.

“Kami tidak mahu kejadian ini berulang dan dalam masa sama menjaga kesucian rumah Allah ini daripada perbuatan jenayah,” katanya selepas menyampaikan sijil pelantikan pegawai perhubungan masjid sempena program SMSP di Masjid Dato Klana Petra Luak Sungai Ujong, Bandar Baru Nilai, Nilai, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Agama Islam Daerah Seremban, Rozimi Zamri dan Pengerusi Jawatankuasa Kariah dan Pengurusan masjid itu, Datuk Wazir Muaz.

Mohd Nor Marzukee berkata, statistik menunjukkan 10 penjenayah ditahan kerana mencuri dan memecahkan tabung derma dan kereta di masjid membabitkan kerugian lebih RM10,000 sejak tahun lalu.

Katanya, dua individu ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan tiga daripada mereka sudah didakwa di mahkamah.

Sementara itu, Rozimi ketika berucap menyatakan pihak masjid memperluaskan skop dengan memberi bimbingan dan didikan kepada kariah membendung jenayah.

Beliau berkata, kerja membendung kegiatan jenayah bukan tugas polis semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:27 PM