POLIS membawa keluar mayat Rabbani. FOTO Ihsan PDRM
POLIS membawa keluar mayat Rabbani. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


LELAKI Bangladesh meninggal dunia selepas membuang air kecil di tandas asramanya di Taman Semarak, di Nilai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pada kejadian 7.15 pagi, lelaki itu, Rabbani Golam, 37, sedang bersiap untuk ke tempat kerja di kilang di Nilai.

Katanya, dia terlebih dulu memasuki tandas sebelum rakannya untuk membuang air kecil dan tiba-tiba rebah sewaktu mahu keluar tandas.

“Melihat kejadian berkenaan, beberapa rakannya bertindak mengeluarkan lelaki itu sebelum menghubungi pihak polis pada 8 pagi,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan mendapati lelaki itu dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri.

“Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Nilai yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia. Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan pada tubuh mayat tidak menampakkan sebarang kesan kecederaan mahupun berunsur jenayah.

“Hasil bedah siasat dilakukan Dr Huud Abd Rahman mendapati punca kematian disebabkan serangan jantung. Mayat akan dibawa pulang ke negara asal melalui agen pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:40 PM