Raja Noraina Raja Rahim


ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat (SAR) remaja warga Ireland yang hilang di Pantai dekat Seremban, turut berpeluang menunaikan solat sunat Aidiladha bersama penduduk setempat, pagi ini.

Kira-kira 500 jemaah terdiri daripada penduduk setempat, anggota SAR dan petugas media memenuhi Masjid Kariah Pantai, seawal jam 7.30 pagi.

Solat sunat yang diimamkan oleh Imam 1 masjid Abdul Khahar Sukin turut disertai Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.

Abdul Khahar berkata, jemaah melaungkan takbir raya sebelum menunaikan solat sunat bersama.

“Saya terharu melihat kehadiran anggota SAR yang sudi bersama penduduk memenuhkan saf masjid dan meriahkan lagi suasana pagi raya ini.

“Walaupun sibuk dengan operasi pencarian mangsa, mereka (anggota) tetap menunaikan kewajipan agama. Saya doakan operasi pencarian itu dipermudahkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Mohd Nor Marzukee berkata, anggota SAR meneruskan operasi mencari mangsa sebaik selesai menunaikan solat sunat Aidiladha.

“Operasi memasuki hari ke lapan hari ini dan kami menggunakan pelbagai teknik pencarian untuk mengesan mangsa.

“Kami berharap rakyat Malaysia terus mendoakan operasi berjalan lancar dan berjaya menemui mangsa secepat mungkin,” katanya.

Seramai 317 anggota termasuk pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komando VAT 69 terbabit dalam operasi berkenaan.

Nora Anne Quoirin, 15, yang mengalami masalah lembam dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai pada 4 Ogos lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR di kawasan berkenaan.

Skop kawasan pencarian mangsa sejak semalam dikecilkan kepada empat kilometer radius berbanding enam kilometer sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 10:42 AM
    SEBAHAGIAN anggota operasi SAR Nora Anne berkesempatan menyertai takbir raya dan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Kariah Pantai, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
    SEBAHAGIAN anggota operasi SAR Nora Anne berkesempatan menyertai takbir raya dan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Kariah Pantai, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman